TUMPAT: Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri sedang meneliti pelbagai inisiatif ekonomi bagi membantu masyarakat setempat yang terjejas susulan tindakan merobohkan jeti haram di kawasan sempadan Kelantan-Thailand.
Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin berkata perkara itu akan menjadi antara agenda utama yang dibincangkan dalam Mesyuarat Keselamatan Negeri, yang dijadualkan berlangsung di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan esok.
Beliau berkata kerajaan mengambil serius keperluan penduduk yang terkesan dengan tindakan penguatkuasaan itu dan pada masa sama mahu memastikan aspek keselamatan sempadan serta kesejahteraan masyarakat setempat terus terpelihara.
“Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri memberi penekanan terhadap aspek pembangunan, khususnya dalam mewujudkan aktiviti ekonomi alternatif untuk masyarakat tempatan yang terbabit.
“Kita harus berlaku adil kepada mereka yang menetap di situ dan kita mengambil serius isu ini. Sebab itu, perkara ini akan menjadi salah satu agenda utama yang akan dibincangkan secara mendalam dalam mesyuarat esok,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Kesepaduan Nasional, di sini hari ini.
Raja Nushirwan berkata perbincangan itu, akan memberi fokus kepada usaha mewujudkan inisiatif dan aktiviti ekonomi, yang dapat membantu meningkatkan pendapatan penduduk di kawasan sempadan yang terkesan dengan usaha kerajaan membanteras jeti haram.
Beliau berkata tumpuan bukan diberikan kepada pewujudan pusat ekonomi baharu, sebaliknya kepada usaha memperkukuh aktiviti ekonomi akar umbi yang mampu memberi manfaat secara langsung kepada komuniti setempat.
“Fokus utama ialah bagaimana kita mahu menyokong dan membantu ekonomi masyarakat tempatan yang terkesan,” katanya.
Mengulas tindakan terhadap jeti haram, Raja Nushirwan berkata kerajaan Persekutuan dengan kerjasama kerajaan negeri, terus memberi penekanan terhadap usaha merobohkan struktur berkenaan yang disifatkan sebagai ancaman kepada keselamatan negara, khususnya melibatkan kegiatan penyeludupan bahan api.
Beliau berkata keadaan geopolitik yang tidak menentu ketika ini menuntut kerajaan mengambil langkah lebih tegas, bagi memastikan kegiatan penyeludupan dapat dibendung dengan berkesan.
Sementara itu, Raja Nushirwan berkata sehingga 29 April lepas, sebanyak 91 jeti haram berstruktur yang dibina di atas tanah kerajaan telah dirobohkan daripada keseluruhan 213 jeti yang dikenal pasti.
Beliau berkata perobohan itu melibatkan operasi Fasa Pertama, manakala tindakan terhadap baki jeti yang dibina di atas tanah persendirian kini berada dalam Fasa Dua pelaksanaan.
“Bagi baki jeti yang didirikan di atas tanah persendirian, pelaksanaannya akan diperhalusi bersama kerajaan negeri dengan merujuk peruntukan di bawah Kanun Tanah Negara,” katanya.
Menurutnya, butiran lanjut mengenai operasi Fasa Dua tidak dapat didedahkan buat masa ini kerana melibatkan rahsia operasi.
-- BERNAMA