KUALA LUMPUR: AMMB Holdings Bhd (AmBank Group) akan terus menumpukan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan segmen runcit sebagai enjin pertumbuhan utamanya bagi Tahun Kewangan 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkata, selain itu, kumpulan perbankan tersebut juga mahu menumpukan kepada pengumpulan deposit.

"Saya fikir banyak lagi peluang untuk berkembang terutamanya dalam PKS.

"Namun perkara lain yang kami turut mahu perkukuhkan adalah untuk menumpu kepada pengumpulan deposit, untuk melihat bagaimana kami boleh mengimbangkan pertumbuhan kami bersama-sama dengan pertumbuhan deposit," katanya pada sidang media selepas mengumumkan keputusan kewangan 2023 kumpulan di sini, pada Isnin.

Sulaiman berkata, bagi Tahun Kewangan 2023, AMMB merekodkan pertumbuhan 6.0 peratus dalam deposit pelanggan, dengan nisbah akaun semasa akaun simpanan (CASA) mencecah 37.4 peratus, yang mana merupakan yang tertinggi dalam industri.

Beliau berkata, AmBank Group juga menjangkakan pertumbuhan pinjaman 6.0 peratus bagi Tahun Kewangan 2024 di tengah-tengah kesan asas tinggi dan pertumbuhan ekonomi yang perlahan.

"Ini sejajar dengan pengembangan keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara yang perlahan. Unjuran pertumbuhan ekonomi ialah pada 4.0-5.0 peratus tahun ini berbanding 8.7 peratus tahun lepas," katanya.

Menurutnya, meskipun potensi cabaran luaran masih ada, seperti volatiliti dalam trajektori pertumbuhan global dan peningkatan ketegangan geopolitik, AmBank Group terus optimis dengan pertumbuhannya bagi Tahun Kewangan 2024.

"Ketika kami menghampiri kemuncak strategi Fokus 8 kami, saya berbesar hati untuk menyatakan bahawa kami telah mencapai kemajuan yang ketara dari segi mengukuhkan pulangan ke atas ekuiti (ROE), mempertajam strategi segmen sasaran kami, meningkatkan pendapatan modal ringan kami dan menerapkan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) ke dalam operasi kami.

"Pada masa depan, matlamat utama kami adalah untuk terus memaksimumkan nilai kepada pemegang kepentingan dan pemegang saham kami.

"Kami merancang melakukannya menerusi penyampaian keputusan kewangan yang kukuh, terus mengukuhkan rizab modal, penilaian berterusan aset bukan teras dan pengurusan berhemat kos kami," katanya.

Mengenai ringgit, Sulaiman berkata, mata wang tempatan itu dijangka mengakhiri 2023 dalam jajaran 4.20-4.30 berbanding dolar AS memandangkan kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) dilihat bakal berakhir pada Jun depan.

Menurutnya, pengakhiran kenaikan kadar faedah AS akan membawa kepada permintaan terhadap mata wang pasaran sedang pesat membangun dan melonjakkan penilaian ringgit lebih tinggi lagi.

"Kami merasakan kenaikan kadar faedah AS akan berakhir pada Jun 2023. Kami juga menjangkakan ekonomi Malaysia mencatatkan prestasi lebih baik berbanding AS pada separuh kedua 2023, yang mana akan menyokong penilaian ringgit Malaysia," jelasnya. - BERNAMA