Semua pihak digesa nilai semula pendidikan sahsiah - NUTP

Pendidikan sahsiah tidak boleh dipikul oleh sekolah semata-mata. Nilai moral dan etika perlu dibentuk seawal di rumah, manakala sekolah berperanan memperkukuh dan membimbing. - Gambar hiasan/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Semua pihak termasuk sekolah, ibu bapa dan masyarakat digesa untuk menilai semula keberkesanan pendidikan sahsiah, sistem bimbingan dan kaunseling serta disiplin di sekolah.
Merujuk kes rogol yang berlaku di sebuah sekolah menengah di Melaka baru-baru ini, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) Fouzi Singon berkata kes berkenaan amat menyedihkan serta membimbangkan kerana nilai kemanusiaan, kesopanan dan kesusilaan gagal diamalkan oleh murid terlibat.
"Pendidikan keibubapaan dan kekeluargaan juga penting kepada semua bakal ibu bapa kerana punca sahsiah tidak baik murid adalah apabila gagalnya pendidikan ibu bapa.
"NUTP berpandangan bahawa pendidikan sahsiah tidak boleh dipikul oleh sekolah semata-mata. Nilai moral dan etika perlu dibentuk seawal di rumah, manakala sekolah berperanan memperkukuh dan membimbing."Namun begitu, kami bersetuju bahawa sudah tiba masanya keberkesanan pendidikan sahsiah dan disiplin di sekolah dinilai semula agar lebih relevan dengan cabaran sosial semasa," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata peranan guru bimbingan dan kaunseling juga wajar diperkasa supaya murid dapat melaksanakan sesi kaunseling serta program berkaitan remaja.
Fouzi berkata sistem sokongan seperti intervensi awal, kerjasama dengan agensi kebajikan dan psikologi juga perlu digerakkan secara menyeluruh.
"NUTP menegaskan bahawa pencegahan awal melalui pendidikan nilai, empati dan pengukuhan sahsiah mesti menjadi agenda utama dalam sistem pendidikan kita. Ini bukan sekadar isu disiplin, tetapi cerminan moral dan kesejahteraan sosial generasi muda negara," katanya.
Sabtu lepas, polis mengesahkan empat pelajar lelaki 17 tahun yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bulan depan, direman enam hari kerana disyaki merogol seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun di sebuah sekolah di Alor Gajah, minggu lepas.
Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan, dan kejadian didakwa berlaku pada 2.50 petang 2 Okt di dalam kelas, semasa mangsa berpatah balik untuk mengambil bahan projek mata pelajaran sains yang tertinggal.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami