DALIAN: Dunia hari ini masih mencari makna sebenar “PEACE”, ketika garis pemisah antara kestabilan dan ketidaktentuan global semakin kabur dari hari ke hari.
“P” merujuk kepada power struggle, apabila persaingan kuasa besar dunia terus membentuk semula geopolitik serta mengganggu rantaian perdagangan dan bekalan global.
“E” pula menggambarkan economic uncertainty, ketika pertumbuhan dunia terus perlahan di tengah tekanan inflasi, kadar faedah tinggi dan keyakinan pelabur yang masih rapuh.
“A” merujuk kepada kebangkitan artificial intelligence (AI), teknologi yang mempercepat inovasi tetapi dalam masa sama mengubah struktur pekerjaan dan landskap industri global.
“C” membawa maksud climate crisis, apabila perubahan iklim semakin memberi tekanan kepada keselamatan makanan, tenaga dan kestabilan ekonomi pelbagai negara.
Manakala “E” terakhir merujuk kepada energy transition, iaitu peralihan global ke arah tenaga bersih yang masih berdepan cabaran kos, teknologi dan kesiapsiagaan infrastruktur.
Di tengah-tengah semua cabaran ini, lebih 1,700 pemimpin dunia, pembuat dasar, ketua industri, pelabur dan inovator berkumpul di Dalian, China sempena Mesyuarat Tahunan New Champions 2026 anjuran Forum Ekonomi Dunia (WEF), atau Summer Davos, yang berlangsung dari 23 hingga 25 Jun.
Forum ini memberi tumpuan kepada bagaimana inovasi boleh diskalakan untuk memacu pertumbuhan baharu, mencipta pekerjaan, serta merapatkan jurang antara kemajuan teknologi dan impak ekonomi sebenar dalam dunia yang semakin berpecah oleh ketidaktentuan global.
Ketika Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menurunkan unjuran pertumbuhan global kepada 3.1 peratus bagi 2026, pertemuan ini dilihat sebagai usaha kolektif dunia untuk mencari arah baharu dalam ekonomi yang semakin tidak menentu.
Namun persoalan akhirnya kekal sama, adakah dunia benar-benar sedang melangkah ke arah “PEACE”, atau perlahan-lahan bergerak daripada 'peace to cease'?