KEMAMAN: Dua pekerja kilang cedera dalam kejadian letupan dan kebakaran di sebuah tempat simpanan sisa minyak industri di sebuah kilang pemprosesan dan kitar semula sisa berjadual di Taman Biopolimer, Kerteh dekat sini malam tadi.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu PgKB I Shahrin Yusmar Mat Yusof berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.28 malam sebelum menggerakkan operasi pemadaman melibatkan empat balai bomba, iaitu Kerteh, Paka, Kijal dan Chukai.
Beliau berkata seorang lelaki tempatan Mohd Khairul Azuan Rashid, 40, mengalami kecederaan di kepala dan seorang warga Bangladesh Md Abdul Alim, 38, melecur di beberapa bahagian badan.
“Mangsa cedera selepas berlaku letupan sebelum api merebak dan mencetuskan kebakaran pada tong-tong dram yang disimpan berhampiran relau di tempat berkenaan.
“Ketika kejadian, sebanyak 15 pekerja sedang bekerja di kilang kitar semula serta memulihkan sisa minyak industri dan pelarut untuk dijadikan produk guna semula itu,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini malam tadi.
Shahrin berkata operasi melibatkan kekuatan 48 anggota, 13 jentera pelbagai jenis serta logistik sokongan bagi memadam kebakaran yang memusnahkan kira-kira 80 peratus tempat simpanan sisa minyak berkeluasan 27 meter panjang dan 21 meter lebar itu,” katanya.
Beliau berkata operasi pemadaman membabitkan kebakaran minyak terpakai itu menggunakan sumber air daripada pili bomba serta tangki air dengan empat aliran hos sepanjang 400 kaki.
“Anggota bomba turut menggunakan pancutan air bercampur buih pemadam api bagi mengawal dan memadam kebakaran berkenaan.
“Kebakaran berjaya dikawal pada 10.57 malam dan operasi ditamatkan pada 5.14 pagi manakala kedua-dua mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Paka untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.
-- BERNAMA