Skip to main content

Malaysia

Kapten, dua leftenan TUDM antara enam didakwa edar syabu

Tiga pegawai TUDM dan tiga orang awam didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis syabu seberat 96.2kg. - Foto Astro AWANI
Tiga pegawai TUDM dan tiga orang awam didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis syabu seberat 96.2kg. - Foto Astro AWANI
Advertisement

SHAH ALAM: Tiga pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan tiga orang awam didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis syabu seberat 96.2 kilogram (kg).

Kesemua tertuduh, terdiri daripada Kapten Muhammad Amirul Faisall Rosdin, Leftenan Amir Ariffudin Aminullah, Leftenan Muhammad Arief Fauzan Mohd Ali, Tan Sui Seng, Nur Hanis Syafiqah Muhammed Amin dan Afifah Amdas, mengaku faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Advertisement

Jika disabit kesalahan, mereka berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan, jika tidak dijatuhi hukuman mati, dikenakan sebatan tidak kurang daripada 15 kali.

Mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap kesemua tertuduh kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Advertisement

Mahkamah menetapkan 23 Feb 2027 sebagai tarikh sebutan semula.

Terdahulu, kesemua tertuduh tiba di kompleks mahkamah dengan menaiki trak polis sebelum dibawa masuk ke lokap melalui pintu belakang.

Kehadiran mereka dikawal ketat beberapa anggota polis yang lengkap dengan peralatan taktikal.

Pada 17 Nov lepas, tujuh anggota dan pegawai TUDM ditahan bagi membantu siasatan berhubung penemuan 96.6kg dadah disyaki di Pangkalan Udara Subang.

Panglima TUDM Tan Sri Muhamad Norazlan Aris dilaporkan berkata, mereka terdiri daripada lima pegawai dan dua anggota lain-lain pangkat.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pula dipetik berkata, sebanyak tiga tan syabu bernilai RM156 juta dipercayai diseludup keluar menerusi dua kemudahan TUDM di Sabah sejak Ogos 2024.

Must Watch Video

Advertisement