Skip to main content

Dunia

Myanmar enggan patuhi sebahagian keputusan ICJ berhubung genosid Rohingya

Min Aung Hlaing berkata keputusan ICJ itu telah menjejaskan reputasi negara berkenaan dan kerajaan tidak akan mematuhi tuntutan yang dianggap tidak sesuai. - Foto fail/AP
Min Aung Hlaing berkata keputusan ICJ itu telah menjejaskan reputasi negara berkenaan dan kerajaan tidak akan mematuhi tuntutan yang dianggap tidak sesuai. - Foto fail/AP

Ringkasan AI

  • Myanmar menyatakan tidak akan mematuhi beberapa bahagian keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berkaitan genosid terhadap etnik Rohingya.
  • ICJ mendapati Myanmar melanggar Konvensyen Genosid 1948 selepas operasi ketenteraan di Rakhine pada 2017 yang menyebabkan ribuan Rohingya terbunuh dan ratusan ribu melarikan diri.
  • ICJ mengarahkan Myanmar membayar pampasan, menghentikan pelanggaran serta menyiasat individu terlibat, namun mahkamah tiada kuasa penguatkuasaan keputusan.
Advertisement

NAYPYIDAW: Myanmar tidak akan mematuhi beberapa bahagian yang disifatkannya sebagai "tidak sesuai" dalam keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang mendapati negara itu bersalah melakukan genosid terhadap etnik Rohingya.

Menurut laporan BBC, pemimpin Myanmar, Min Aung Hlaing, berkata keputusan ICJ itu telah menjejaskan reputasi negara berkenaan dan kerajaan tidak akan mematuhi tuntutan yang dianggap tidak sesuai.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan bahagian keputusan yang dibantah oleh Myanmar.

Advertisement

Minggu lalu, ICJ memutuskan bahawa Myanmar melanggar Konvensyen Genosid 1948 susulan operasi ketenteraan di negeri Rakhine pada 2017 yang mengorbankan ribuan etnik Rohingya serta memaksa lebih 700,000 penduduk melarikan diri ke Bangladesh.

Menurut BBC, kes itu difailkan oleh Gambia pada 2019 dan tertumpu kepada operasi ketenteraan yang dijalankan terhadap komuniti Rohingya di Rakhine.

Advertisement

Mahkamah turut mendapati kira-kira 10,000 etnik Rohingya terbunuh dalam operasi tersebut, manakala lebih 700,000 lagi melarikan diri ke Bangladesh. Dianggarkan sekitar 815,000 orang menjadi sasaran pelbagai bentuk pencabulan.

Keputusan itu dicapai menerusi undian sembilan hakim menyokong berbanding enam menentang dan tidak boleh dirayu.

ICJ turut mengarahkan Myanmar membayar pampasan yang akan ditentukan kemudian, menghentikan pelanggaran yang masih berlaku serta menjalankan siasatan terhadap individu yang disyaki melanggar Konvensyen Genosid.

Bagaimanapun, mahkamah itu tidak mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan keputusannya dan bergantung kepada tekanan diplomatik serta tindakan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Laporan BBC menyebut keputusan itu disambut baik oleh komuniti Rohingya dan pertubuhan hak asasi manusia yang sekian lama menuntut keadilan terhadap penderitaan yang dialami etnik berkenaan.

Myanmar berdepan perang saudara sejak rampasan kuasa tentera pada 2021 yang dipimpin Min Aung Hlaing untuk menggulingkan kerajaan awam pimpinan Aung San Suu Kyi, sekali gus menyebabkan negara itu berdepan tekanan dan sekatan antarabangsa yang berterusan.

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement