Skip to main content

Bisnes

Angkat rasa tempatan, Café Sampan cipta impak di Pentas JUAL JIWA SME 2026

Cafe Sampan terletak di Oriental Village berdekatan stesen Langkawi SkyCab, Langkawi. - Foto LED Mission
Cafe Sampan terletak di Oriental Village berdekatan stesen Langkawi SkyCab, Langkawi. - Foto LED Mission

Ringkasan AI

  • Café Sampan oleh LED Mission menawarkan pengalaman menjamu selera sambil menyusuri perairan Langkawi dan menikmati hidangan berasaskan hasil laut tempatan.
  • Kafe ini terletak di Oriental Village, berhampiran Langkawi SkyCab, dan menyajikan pelbagai hidangan tempatan serta antarabangsa dengan sentuhan tempatan.
  • LED Mission menerima anugerah Kategori Impak Tinggi di Pentas JUAL Jelajah JIWA SME 2026 atas usaha mempromosikan budaya melalui pengalaman makanan.
Advertisement

ALOR SETAR: Bayangkan menikmati nasi lemak sebelum menyusuri perairan Langkawi dengan sampan atau mencuba Fish & Chips menggunakan hasil tangkapan laut tempatan.

Itulah pengalaman yang cuba diketengahkan LED Mission menerusi Café Sampan.

Menerusi Café Sampan, LED Mission menggabungkan hidangan tempatan dengan aktiviti yang membolehkan pengunjung menyelami keunikan budaya setempat, termasuk pengalaman menaiki sampan atau Sampan Ride.

Advertisement

Selain menyajikan nasi lemak, Café Sampan turut mengetengahkan pendekatan tempatan dalam hidangan antarabangsa seperti Fish & Chips dengan menggunakan ikan yang ditangkap di perairan Langkawi, antaranya barracuda, barramundi, cobia dan Spanish mackerel.

Image
Sumber: LED MISSION
Kafe ini mempunyai dek desa yang selesa dan betul-betul terletak di atas air sambil mengetengahkan meja sudut yang menawarkan latar belakang pergunungan dan tasik. - Foto LED Mission

Terletak di Oriental Village, lokasi tumpuan pelancong berhampiran Langkawi SkyCab, Café Sampan turut membawa aspirasi menjadi destinasi menjamu selera yang selesa untuk pengunjung tempatan dan antarabangsa, menerusi pilihan Global Comfort Food seperti piza buatan sendiri, pasta dan pelbagai hidangan lain.

Advertisement

Usaha itu turut mendapat perhatian apabila LED Mission yang diasaskan bersama oleh Zikri Mohd Fadzil dan Rafidi Abdullah, menerusi Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Kedah, berjaya mengetengahkan Café Sampan serta kisah di sebalik perniagaannya di Pentas JUAL sempena Jelajah JIWA SME 2026 anjuran Astro AWANI dan Unifi Business baru-baru ini.

Penyertaan itu membuahkan hasil apabila LED Mission membawa pulang anugerah Kategori Impak Tinggi, sekali gus memberikan pengiktirafan kepada usaha perniagaan tersebut dalam mengetengahkan pengalaman makanan yang menghubungkan pengunjung dengan budaya tempatan.

Bagi LED Mission, misi memperkenalkan budaya melalui pengalaman menjamu selera bukan sahaja memberi peluang kepada pengunjung menikmati hidangan, malah membuka ruang untuk mereka mengenali Langkawi melalui sajian, hasil laut tempatan dan pengalaman budaya yang ditawarkan.

Bertemakan “Ekonomi Kopi dan Budaya Kafe”, Jelajah JIWA SME 2026 Kedah berlangsung dari 23 hingga 25 Oktober lalu di Aman Central, Alor Setar. Edisi kelima itu menghimpunkan usahawan dan pemain industri bagi meraikan kreativiti serta potensi perniagaan tempatan.

Must Watch Video

Advertisement