Ringkasan AI
- Seramai 6,395 pegawai dan anggota polis serta 3,466 kenderaan digerakkan JPJKK untuk memperkukuh rondaan pencegahan jenayah sempena Deepavali.
- Rondaan berfokus dilaksanakan 24 jam di kawasan berisiko, dengan pemantauan masa nyata menggunakan peranti MCAD bagi memastikan keberkesanan operasi.
- Statistik menunjukkan penurunan 0.33 peratus kes jenayah harta benda, namun kes curi kekal penyumbang tertinggi dan memerlukan perhatian khusus.
KUALA LUMPUR: Sebanyak 6,395 pegawai dan anggota polis selain 3,466 kenderaan serta motosikal digerakkan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) bagi memperkukuh rondaan pencegahan jenayah di seluruh negara bersempena dengan sambutan Deepavali esok.
Pengarah JPJKK Bukit Aman Datuk Seri Noor Hisam Nordin berkata penugasan itu melibatkan 1,734 unit Mobile Patrol Vehicle (MPV) dengan kekuatan 4,332 pegawai dan anggota, 1,732 Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dengan 1,800 pegawai dan anggota serta 263 anggota Unit Polis Pelancong (UPP).
Beliau berkata pengoperasian aset dan kekuatan barisan hadapan itu bertujuan meningkatkan kehadiran polis, memperkukuh pencegahan jenayah serta memastikan keselamatan masyarakat dan harta benda sentiasa terpelihara sepanjang musim perayaan.
“Keutamaan rondaan diberikan kepada kawasan perumahan, lokasi berisiko jenayah, pusat bandar, kawasan komersial dan lokasi tumpuan awam.
“Kekerapan rondaan akan disesuaikan berdasarkan penilaian risiko dan pola jenayah setempat bagi memastikan pelaksanaan yang lebih bersasar, berkesan dan berimpak tinggi,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Noor Hisam berkata rondaan pencegahan jenayah akan dilaksanakan secara berfokus dan berterusan selama 24 jam mengikut sistem syif menerusi MPV, URB dan UPP, khususnya di kawasan yang dikenal pasti memerlukan pemantauan lebih tinggi.
Pelaksanaan rondaan turut dipantau secara masa nyata menggunakan peranti Mobile Card Acceptance Device (MCAD) bagi memastikan anggota berada di kawasan penugasan yang ditetapkan.
“Melalui MCAD, penyelia dapat menilai pergerakan petugas, mengesan pemberhentian melebihi 30 minit serta memastikan rondaan dilaksanakan secara teratur dan berkesan,” katanya.
Selain rondaan, beliau berkata petugas turut melaksanakan aktiviti Stop and Talk bagi mendekati masyarakat, menyampaikan nasihat keselamatan, serta mendapatkan maklumat berkaitan situasi keselamatan setempat.
Noor Hisam berkata statistik jenayah harta benda bagi tempoh tujuh hari sebelum dan tujuh hari selepas Deepavali menunjukkan jumlah keseluruhan kes pada 2025 menurun 0.33 peratus kepada 1,839 kes berbanding 1,845 kes pada 2024.
Bagaimanapun, kes curi terus menjadi penyumbang tertinggi kepada jenayah harta benda apabila mencatatkan 928 kes pada 2025 berbanding 839 kes pada 2024 dan 690 kes pada 2023.
“Kes curi pada 2025 menyumbang 50.46 peratus daripada keseluruhan kes jenayah harta benda, dan situasi ini memerlukan perhatian khusus melalui pemerkasaan strategi pencegahan jenayah yang lebih berfokus dan bersasar,” katanya.
Menurut statistik sama, beliau berkata kes curi motosikal pada 2025 mencatatkan 387 kes, berbanding 408 kes pada 2024 dan 410 kes pada 2023, manakala kes curi motokar masing-masing merekodkan 113, 122 dan 131 kes bagi tempoh sama.
“Kes curi van, lori dan jentera berat pula mencatatkan 24 kes pada 2025 berbanding 24 kes pada 2024 dan 38 kes pada 2023, manakala kes pecah rumah merekodkan 387 kes berbanding 452 kes pada 2024 dan 525 kes pada 2023,” katanya.
Noor Hisam berkata berdasarkan perkembangan itu, JPJKK akan terus memberikan keutamaan kepada peningkatan rondaan di kawasan berisiko, pengukuhan kehadiran polis, aktiviti Stop and Talk serta kerjasama masyarakat dalam penyaluran maklumat keselamatan.
Pendekatan berkenaan bertujuan mengurangkan peluang berlakunya jenayah, khususnya kes curi, selain memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara sepanjang sambutan Deepavali.
-- BERNAMA