Ringkasan AI
- LTAT melancarkan Strategi Etika, Tatakelola, Integriti dan Antirasuah (SETIA) 2026–2030 untuk memperketat pengawasan pelaburan dan lindungi simpanan persaraan anggota ATM.
- SETIA mengandungi 25 inisiatif di bawah lima teras strategik, termasuk memperkukuh pengurusan risiko rasuah dan meningkatkan ketelusan serta akauntabiliti pelaburan.
- LTAT menegaskan tiada kompromi terhadap integriti, dengan pengawasan turut meliputi syarikat pelaburan dan penekanan kepada budaya kerja berintegriti dalam organisasi.
KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) melancarkan Strategi Etika, Tatakelola, Integriti dan Antirasuah (SETIA) 2026–2030 bagi memperketat pengawasan pelaburan dan melindungi simpanan persaraan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Ketua Eksekutif LTAT, Datuk Mohammad Ashraf Md Radzi berkata, amanah mengurus dana pencarum menuntut setiap keputusan pelaburan dan perbelanjaan dibuat dengan telus dan bertanggungjawab.
“LTAT tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku, penyalahgunaan kuasa atau pelanggaran piawaian etika. Dalam soal integriti, tiada sebarang pengecualian dan sama sekali tiada kompromi,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran SETIA di Royale Chulan Kuala Lumpur pada Jumaat.
Menurutnya, LTAT akan menerapkan piawaian International Organization for Standardization (ISO) dalam pengawasan integriti dan pengurusan pelaburan.
“Pada masa sama, perkara paling penting bagi kami ialah membudayakan integriti dalam organisasi. Kami mahu setiap warga LTAT memahami tanggungjawab masing-masing dalam perkara yang mereka lakukan,” ujarnya.
Tambahnya, pengawasan itu turut meliputi syarikat yang menerima pelaburan LTAT, dengan pengarah yang dilantik mewakili LTAT berperanan memastikan dasar pengawasan pelaburan dilaksanakan di peringkat syarikat.
“Kami telah menerima pakai dasar pengawasan pelaburan yang dilaksanakan ke atas setiap pelaburan. Pengarah yang kami lantik ke lembaga pengarah syarikat akan memastikan dasar itu dilaksanakan, manakala LTAT sendiri menjalankan semakan dan pengesahan secara berkala,” jelasnya.
SETIA menggariskan 25 inisiatif di bawah lima teras strategik, termasuk langkah memperkukuh pengurusan risiko rasuah, meningkatkan ketelusan perolehan dan memperkukuh akauntabiliti dalam membuat keputusan.
Strategi lima tahun itu menyusuli penyempurnaan kesemua 30 inisiatif di bawah Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) 2022–2026.
Mengulas prestasi LTAT, Mohammad Ashraf berkata, peningkatan berterusan dalam keputusan kewangan, keuntungan dan dividen sejak Program Transformasi bermula pada 2019 mencerminkan kemajuan dalam pengurusan pelaburan.
“Pada pandangan saya, penambahbaikan yang berterusan ini menunjukkan kami sedang menutup ruang untuk berlakunya salah laku. Pada masa sama, kami berhasrat untuk terus memberikan pulangan yang berdaya saing,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa ganjaran dan kenaikan pangkat yang mengambil kira prestasi serta sumbangan pekerja dapat menggalakkan budaya kerja berintegriti.
Majlis pelancaran sempena sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa 2026 itu turut dihadiri Pengerusi LTAT, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Azizan Ariffin TUDM (Bersara) serta Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Integriti LTAT, Datuk Dr. Shahrazat Haji Ahmad.