Berikut adalah perbandingan langkah yang diambil di beberapa negara untuk menangani situasi ini serta membantu rakyat yang terjejas.
Korea Selatan
Peruntukan AS$625 juta sebagai langkah kecemasan untuk memerangi inflasi
- Kerajaan membelanjakan kira-kira 810 bilion won (AS$624.84 juta) untuk membantu meringankan kos sara hidup rakyat, termasuk penghapusan tarif ke atas beberapa makanan import dan mempertingkatkan sokongan kebajikan kepada golongan berpendapatan rendah.
- Kementerian Kewangan berkata tarif akan dihapuskan ke atas import daging lembu dan ayam manakala kuota import daging babi, yang mana tarifnya telah pun dihapuskan, akan dinaikkan. Langkah-langkah itu dijangka menelan belanja 330 bilion won sepanjang tahun ini.
- Sejumlah 480 bilion won lagi langkah diumumkan termasuk peningkatan kebajikan dan sokongan berkaitan pekerjaan untuk golongan berpendapatan rendah dan program bantuan lain, menjadikan jumlah keseluruhan 810 bilion won.
Minneapolis, Amerika Syarikat
Pasar Makanan Mudah Alih sasar akses lebih mudah makanan berkhasiat
- Pertubuhan bukan berasas keuntungan mahu menjadikan makanan sihat pada harga lebih berpatutan dan mudah diakses untuk komuniti yang memerlukan.
- The Food Group telah menukar bas Metro kepada pasar mudah alih yang berhenti di 25 lokasi sebulan dalam laluannya. Hanya makanan paling sihat dari kedai runcit akan dijual di dalam bas itu.
- Antaranya buah-buahan, sayur-sayuran, roti, kentang, barangan kering dan makanan ruji sihat yang lain.
- The Food Group berkata misi mereka adalah untuk membantu keluarga di kawasan kejiranan yang tidak mempunyai akses mudah kepada makanan sihat.
- Ekuiti juga menjadi tumpuan untuk The Food Group, kerana pelaburan yang kurang dalam komuniti masyarakat bukan kulit putih telah menyebabkan kebanyakan kawasan kejiranan tersebut kurang mendapat akses kepada makanan berkualiti.
Singapura
Peruntukan SG$1.5 bilion tangani inflasi
- Kementerian Kewangan (MOF) membelanjakan SG$1.5 bilion untuk menangani inflasi bagi perniagaan dan isi rumah.
- Pakej sokongan itu akan dibiayai daripada kedudukan fiskal Singapura yang lebih baik daripada jangkaan pada tahun kewangan 2021, tanpa pengeluaran rizab negara.
- Untuk membolehkan dolar tempatan mengukuh berbanding mata wang rakan dagangannya, bank pusat memusatkan semula titik tengah jalur dasar kadar pertukaran pada tahap semasa. Ia juga meningkatkan kecerunan atau kadar kenaikan mata wang.
- Pembekal elektrik menawarkan lebih banyak kontrak harga tetap jangka panjang untuk pengguna perniagaan pada kadar yang kompetitif.
- Pelan harga baharu ini datang dengan tempoh kontrak yang lebih panjang, antara enam bulan hingga tiga tahun, dengan kadar elektrik untuk kontrak dua tahun dan tiga tahun berharga 25 sen setiap kilowatt jam.
- Untuk membantu rakyat Singapura mengatasi kenaikan harga makanan, baucar Majlis Pembangunan Masyarakat bernilai SG$100 untuk 2022, yang diumumkan dalam Bajet tahun ini, telah diagihkan kepada isi rumah pada Mei.