Skip to main content

Dunia

Serangan siber jejas pentadbiran Kanton Switzerland, 20 aplikasi kerajaan terganggu

Serangan siber mengganggu kira-kira 20 aplikasi yang digunakan oleh pentadbiran Kanton Basel-Landschaft di Switzerland. - Foto hiasan
Serangan siber mengganggu kira-kira 20 aplikasi yang digunakan oleh pentadbiran Kanton Basel-Landschaft di Switzerland. - Foto hiasan

Ringkasan AI

  • Serangan siber mengganggu kira-kira 20 aplikasi pentadbiran Kanton Basel-Landschaft di Switzerland sejak Ahad lalu.
  • Enam pelayan terjejas sedang dipasang semula, dengan pihak berkuasa melaporkan kemajuan baik dalam usaha pemulihan.
  • Perkhidmatan kecemasan dan sistem IT organisasi penyelamat serta keselamatan tidak terjejas sepanjang insiden ini.
Advertisement

ISTANBUL: Serangan siber mengganggu kira-kira 20 aplikasi yang digunakan oleh pentadbiran Kanton Basel-Landschaft di Switzerland, lapor Anadolu Ajansi yang memetik portal berita Switzerland, Swissinfo pada Rabu.

Serangan terhadap infrastruktur teknologi maklumat (IT) pentadbiran kanton itu berterusan sejak Ahad, menurut kenyataan Pejabat Canselori Kanton pada Rabu malam.

Aplikasi yang terjejas beroperasi menggunakan enam pelayan, yang kini sedang dipasang semula bagi memulihkan perkhidmatan. Pejabat canselori itu berkata pihak berkuasa mencatatkan "kemajuan yang baik" dalam usaha menganalisis dan menyelesaikan masalah berkenaan.

Advertisement

Perkhidmatan kecemasan kekal beroperasi sepanjang insiden itu manakala sistem IT organisasi penyelamat dan keselamatan kanton berkenaan tidak terjejas, menurut kenyataan itu.

Pihak berkuasa memutuskan sambungan beberapa pelayan daripada Internet bagi melindungi sistem IT kanton berkenaan, sekali gus menyebabkan gangguan terhadap beberapa perkhidmatan digital.

Advertisement

Amaran turut dikeluarkan bahawa orang ramai mungkin menghadapi kesukaran menghubungi talian kecemasan 112, 117 dan 118. Bagaimanapun, pihak berkuasa kemudian mengesahkan bahawa ketiga-tiga talian itu kekal boleh dihubungi.

Jurucakap kerajaan Nic Kaufmann berkata amaran itu dikeluarkan sebagai langkah berjaga-jaga kerana pihak berkuasa tidak dapat menolak kemungkinan perlu memutuskan sambungan lebih banyak pelayan.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video

Advertisement