Skip to main content

Bisnes

ASEAN meterai perjanjian rangka kerja ekonomi digital, perkukuh integrasi ekonomi

Cristina Roque berkata, DEFA berpotensi menggandakan nilai ekonomi digital rantau ini daripada anggaran AS$1 trilion kepada AS$2 trilion menjelang 2030. - Gambar Bernama
Cristina Roque berkata, DEFA berpotensi menggandakan nilai ekonomi digital rantau ini daripada anggaran AS$1 trilion kepada AS$2 trilion menjelang 2030. - Gambar Bernama
Advertisement

MANILA: Negara-negara ASEAN pada Sabtu melakar sejarah menerusi pemeteraian Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA) yang bertujuan memudahkan urusan perdagangan dalam talian serta membantu perniagaan menjangkau pelanggan di seluruh rantau ini.

Perjanjian itu ditandatangani oleh menteri-menteri perdagangan kesemua 11 negara anggota ASEAN, termasuk Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Setiausaha Perdagangan dan Industri Filipina, Cristina Roque berkata, pemeteraian perjanjian itu merupakan langkah penting ke arah memperkukuh integrasi ekonomi ASEAN.

Advertisement

Menurutnya, DEFA berpotensi menggandakan nilai ekonomi digital rantau ini daripada anggaran AS$1 trilion kepada AS$2 trilion menjelang 2030.

Perjanjian itu, katanya menyediakan rangka kerja bersama bagi e-dagang rentas sempadan, pembayaran elektronik dan aliran data, sekali gus memudahkan perniagaan menjangkau pelanggan di seluruh rantau ini serta meningkatkan keyakinan pengguna terhadap urus niaga dalam talian.

Advertisement

“Namun, cabaran sebenar kini adalah memastikan komitmen yang dicapai ini dapat direalisasikan melalui tindakan dan hasil yang nyata,” katanya.

Mengulas lanjut, Roque berkata, pemeteraian perjanjian itu juga mencerminkan komitmen bersama negara-negara ASEAN selepas rundingan yang berlangsung selama bertahun-tahun dalam usaha merapatkan hubungan ekonomi serta memperluas akses kepada manfaat perdagangan digital.

Negara-negara ASEAN juga perlu berganding bahu dalam usaha menyediakan infrastruktur yang diperlukan selain memastikan perjanjian itu dilaksanakan dengan mengambil kira keperluan perniagaan berskala kecil, kata beliau.

Roque turut menggesa sektor perniagaan untuk melabur dalam penyelesaian digital, mempererat kerjasama serantau dan membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana PMKS menyertai ekonomi digital.

Rundingan DEFA dimuktamadkan pada Mei selepas pegawai kanan ekonomi ASEAN menyelesaikan isu-isu yang masih berbangkit dalam mesyuarat di Manila dari 27 hingga 29 Mei.

-- BERNAMA 

 

 

Must Watch Video

Advertisement