BANDAR HILIR: Kesemua 240 pusat mengundi melibatkan 1,213 saluran di seluruh Melaka ditutup tepat jam 6 petang ini, menandakan berakhirnya proses pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Seramai 675,166 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam proses pengundian yang bermula seawal jam 8 pagi tadi.
Penutupan pusat mengundi itu sekali gus menyaksikan berakhirnya proses membuang undi di kesemua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.
Selepas proses pengundian selesai, peti-peti undi akan dibawa ke pusat penjumlahan rasmi undi bagi membolehkan proses pengiraan undi dilaksanakan.
Keputusan rasmi PRN Melaka dijangka diketahui selepas proses pengiraan dan penjumlahan undi selesai.
Seramai 79 calon disahkan bertanding bagi merebut 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Melaka, 14 November ini.
Daripada jumlah itu, Pakatan Harapan (PH) bertanding di 24 kerusi, diikuti Barisan Nasional (BN) dengan 23 kerusi, Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) (16), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) (tujuh), Perikatan Nasional (PN) (lima), calon Bebas (tiga) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) (satu).