TOKYO: Polis Jepun menahan seorang kapten Tentera Udara Amerika Syarikat (AS) pada Sabtu atas syak memandu dalam keadaan mabuk di Okinawa, dalam insiden terbaharu yang berpotensi menjejaskan hubungan antara kedua-dua sekutu rapat itu.
Penahanan itu berlaku hanya seminggu selepas Tokyo dan Washington mencapai persetujuan mengenai beberapa langkah baharu bagi mencegah jenayah melibatkan anggota tentera AS di pulau Okinawa, susulan kes pembunuhan yang didakwa membabitkan seorang anggota Marin AS dan mencetuskan kemarahan masyarakat setempat.
AS menempatkan kira-kira 54,000 anggota tenteranya di Jepun, dengan sebahagian besar berpangkalan di Okinawa.
Selama beberapa dekad, pelbagai kes jenayah yang melibatkan anggota tentera AS sering menjadi isu sensitif dalam hubungan antara kedua-dua negara.
Minggu lalu, pihak berkuasa tentera AS mengumumkan lanjutan perintah berkurung terhadap anggota berpangkat rendah sehingga 7 Disember, selain melarang semua anggota tentera mengambil minuman beralkohol di luar kediaman masing-masing antara tengah malam hingga 5 pagi.
Menurut jurucakap Polis Wilayah Okinawa, lelaki berusia 27 tahun itu ditahan selepas dipercayai memandu di sebuah jalan raya di Bandar Okinawa kira-kira jam 3.09 pagi pada Sabtu.
“Masih belum dapat dipastikan sama ada dia melanggar perintah berkurung yang dikenakan pihak tentera AS,” katanya.
Menurut laporan agensi berita Kyodo, kapten yang ditahan itu bertugas di Pangkalan Udara Kadena, Okinawa.
Setakat ini, pihak pengurusan pangkalan berkenaan belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung penahanan tersebut. - Agensi