Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) berkurangan sebanyak 6 peratus dari tahun ke tahun oleh kerana kejatuhan nilai mata wang yang memberi kesan kepada kos kandungan secara keseluruhan.
Sorotan laporan kewangan bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2017:
- Pendapatan +3 peratus dari tahun ke tahun kepada RM2.8 bilion
- Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) -6 peratus dari tahun ke tahun kepada RM903 juta
- Keuntungan Selepas Cukai dan Kepentingan Minoriti (PATAMI) +7 peratus dari tahun ke tahun kepada RM328 juta
- Aliran Tunai Bebas (FCF) bernilai RM531 juta
- Dividen interim kedua bernilai 3 sen sesaham
Tun Zaki Azmi, Pengerusi Astro berkata, “Kumpulan Astro terus fokus dalam menyediakan pulangan jangka masa panjang dan dasar pembayaran dividen yang progresif kepada semua pemegang saham. Pihak Lembaga Pengarah dengan sukacitanya mengumumkan pembayaran dividen interim kedua bernilai 3 sen sesaham, meningkat sebanyak 9.0 peratus berbanding dengan tempoh yang sama tahun lalu.”
Datuk Rohana Rozhan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro berkata: “Kami kini menawarkan perkhidmatan kepada 5 juta pelanggan atau 69 peratus isi rumah (Perkhidmatan TV Berbayar: 3.5 juta, dan NJOI: 1.5 juta) yang mana rata-ratanya didorongi oleh perkhidmatan TV langganan percuma kami iaitu NJOI (yang mencatatkan pertumbuhan sebanyak +38 peratus dari tahun ke tahun).
"Cabaran utama kami adalah menyediakan variasi kandungan, produk, perkhidmatan, tawaran nilai dan pengalaman pelanggan yang tiada tandingannya.
"Untuk mencapai misi ini, kami perlu sentiasa fokus dalam mencari kaedah terbaik untuk mengenali pelanggan kami termasuklah dengan cara menggerakkan data analitikal dan memperhebatkan lagi inisiatif pemasaran bagi tujuan meningkatkan kesedaran pelanggan akan pelbagai jenis produk dan perkhidmatan hebat yang ditawarkan pada masa kini seperti On Demand (OD), Download to Go, pelan jalur lebar mudah alih, akses yang lancar untuk pelbagai alat peranti, dan lebih banyak siaran ‘Sama Hari’ dengan tayangan global untuk pelanggan.
"Jumlah tontonan juga dilihat meningkat dengan penglibatan skrin kedua pada waktu sebenar menerusi AOTG, aplikasi kandungan secara mudah alih dan integrasi media sosial ke dalam platform-platform penyampaian kandungan.”
Hasil dari usaha ini, tawaran perkhidmatan dan nilai tambah untuk setiap produk dilihat berkembang. Jumlah kotak top-set bersambung mencatatkan peningkatan yang memberangsangkan sebanyak 118 peratus dari tahun ke tahun kepada 395,000 manakala jumlah muat turun video meningkat kepada 522,000 sebulan, dari 300,00 sebulan sebelum ini.
Muat turun paparan mudah alih menerusi Astro on the Go (AOTG) turut dilihat bertambah sehingga 67 peratus dari tahun ke tahun menjadikannya 2.6 juta, dan purata tontonan secara mingguan meningkat kepada 260 minit.
Astro turut mencatatkan permintaan tinggi menerusi perkhidmatan berbayar-untuk-setiap-tontonan bagi saluran Astro First dan Astro Best, dengan jumlah pembelian terkumpul sebanyak 1.7 juta untuk 1HFY17. Pembelian pek prabayar NJOI turut meningkat sebanyak 49 peratus dari tahun ke tahun kepada 931,000.
Pertumbuhan keuntungan untuk H1FY17 disokong oleh prestasi lebih baik yang dicatatkan Adex dan Go Shop.
Pendapatan pengiklanan yang dijana meningkat sebanyak 10 peratus dari tahun ke tahun kepada RM336.3 juta, dari RM304.5 juta pada H1FY16, yang mana ia turut disumbang oleh capaian Astro menerusi platform-platform bersepadunya iaitu TV, radio, mudah alih dan digital yang terbukti berjaya memenangi hati penonton, pendengar dan pengiklan.
Nilai pertumbuhan Adex TV dan Radex dilihat begitu memberangsangkan dengan masing-masing meningkat sebanyak 37 peratus dan 73 peratus.
Penguasaan kos terus dilihat menjadi fokus utama yang ditekankan untuk mengimbangi skala dan mengoptimumkan operasi. Kos kandungan secara keseluruhan telah mendapat manfaat daripada rundingan semula kontrak bersama para pembekal kandungan utama, yang mana menyumbang kepada penjimatan yang ketara seterusnya meningkatkan hak media baru.
Hal ini telah membantu mengurangkan kesan kejatuhan nilai mata wang dan pengawalan kos untuk menyiarkan dua acara sukan utama pada tahun ini.
Go Shop turut mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 87 peratus keuntungan menjadikannya RM138 juta pada 1HFY17 dan berjaya mencapai paparan halaman mudah alih dan atas talian (online) sebanyak 75 juta. Teruja dengan peluang yang mampu dikecapi menerusi perkhidmatan e-dagang, Go Shop akan terus fokus untuk melebarkan sayapnya dengan meningkatkan peluang pembelian berulang, mengoptimumkan masa penghantaran, memperluaskan penawaran produk dan konsep pemadanan (mix), sekali gus memacu skala dan margin.
Tahun ini diibaratkan sebagai tahun sukan buat Astro kerana berjaya mencatatkan kejayaan besar apabila mencapai 10 juta langganan untuk UEFA EURO 2016 dan 12.4 juta langganan untuk Sukan Olimpik Rio 2016. Ini merupakan satu pencapaian yang cukup hebat kerana menyaksikan peningkatan sehingga empat kali ganda, seterusnya menandakan Astro sebagai ‘Home of Sports’ atau saluran sukan pilihan rakyat Malaysia.
Lebih utama lagi ialah perjalanan Astro menuju ke arah penjenamaan digital ternyata membuahkan hasil apabila platform media sosial Astro Arena YouTube berjaya mencatatkan sejumlah 21 juta tontonan bagi Sukan Olimpik Rio 2016 baru-baru ini. Siaran secara langsung (live streaming) pusingan akhir bagi kategori individu untuk sukan Badminton di saluran Astro Arena dan Stadium Astro YouTube berjaya menarik seramai 120 ribu orang penonton serentak yang mana ia secara tidak langsung menyumbang ke arah imej positif kepada Astro.
Saluran eSports atau eSukan yang bersiaran selama 24/7 yang pertama di rantau ini, eGG Network (Every Good Game) berjaya mencapai 5.3 juta penonton sejak hari ianya dilancarkan pada bulan Jun 2016. eGG Network kini ditawarkan di Malaysia dan Indonesia dan akan diperkenalkan di Filipina dalam jangka masa yang terdekat ini. eGG Network disediakan dalam kandungan linear dan platform OTT di Astro dan Tribe; yang boleh didapati di Indonesia dan akan dilancarkan di Filipina pada November 2016 ini.
Datuk Rohana berkata: “Kami akan terus komited untuk menyediakan jumlah pulangan yang mapan kepada para pemegang saham dan sentiasa memperbaiki diri untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan, seterusnya melayakkan kami mendapat tempat di hati rakyat sebagai jenama media pilihan mereka.
"Dalam keadaan pasaran yang tidak menentu ini, fokus utama kami adalah untuk tampil unik dan berbeza menerusi kandungan yang disediakan beserta dengan barisan bakat yang ditampilkan. Namun begitu pada masa yang sama, kami ingin terus mengekalkan kedudukan sebagai media pilihan terbaik dalam menawarkan pengalaman pelanggan yang pelbagai menerusi susun atur produk dan perkhidmatan komprehensif yang ada di semua aset media kami.”