Astro Malaysia Holdings Bhd bekerjasama dengan Turner Asia Pacific untuk membentuk usaha sama strategik dalam Warner TV dan melaksanakan produksi bersama serta mengedar kandungan Asia bagi capaian global.

Ini disamping pengedaran kandungan Astro dan penyiaran saluran itu di Astro dan Tribe.

Ketua Pegawai Operasi Astro, Henry Tan dalam satu kenyataan hari ini berkata tumpuan syarikat itu adalah untuk meningkatkan pembabitannya dalam mencipta dan memiliki kandungan, terutamanya harta intelek (IP) Asia, yang mana ia adalah penting dalam pasaran yang mementingkan perbezaan besar.

"Kami percaya IP ini menyokong cadangan nilai kami dan ia adalah apa yang pelanggan kami mahu dan sanggup untuk membayar.

"Kami berusaha meningkatkan daya eksport IP signatur, dan giat mencari pengedaran dalam pelbagai pasaran menerusi perkongsian, serta platform kami sendiri, seperti Astro di Malaysia dan Tribe di rantau ini," katanya.

Tan berkata Astro akan bekerjasama dan belajar daripada organisasi yang sama di rantau ini bagi mempercepatkan usaha itu.

Menurutnya, usaha niaga baharu itu akan membolehkan syarikat tersebut menyertai pengagihan hasil dijana daripada Warner TV di rantau ini.

Warner TV yang ketika ini tersedia di 22 platform di 15 negara di seluruh Asia Pasifik, terkenal dengan kelebihannya dalam program hari yang sama dengan tajuk popular seperti Good Behavior, Angie Tribeca, The Last Ship, Lethal Weapon, dan pelbagai program adi wira DC seperti DC''s Legends of Tomorrow, Supergirl, The Flash dan iZombie.

Warner TV boleh ditonton di On Demand dan On Linear menerusi Astro GO and Astro TV bermula 1 Mei, kata Astro.

-- BERNAMA