Ringkasan AI
- Proses bedah siasat pelajar tingkatan tiga yang ditemukan meninggal dunia di sekolah berasrama penuh Kuala Kangsar selesai tengah hari ini.
- Jenazah dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Juasseh, Negeri Sembilan untuk urusan pengebumian selepas selesai dokumentasi dan pengurusan jenazah.
- Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan mengarahkan siasatan menyeluruh dan telus dijalankan tanpa kompromi jika terdapat unsur kecuaian atau pelanggaran prosedur keselamatan.
TAIPING: Proses bedah siasat pelajar tingkatan tiga yang ditemukan meninggal dunia di sebuah sekolah berasrama penuh di Kuala Kangsar, semalam, selesai tengah hari ini.
Proses bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Taiping bermula kira-kira 10 pagi tadi, selesai kira-kira 1.10 tengah hari.
Selepas selesai urusan dokumentasi dan pengurusan jenazah, van membawa jenazah Allahyarham dilihat keluar meninggalkan pekarangan jabatan itu pada 3.25 petang bagi urusan pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Juasseh, Juasseh, Negeri Sembilan.
Suasana pilu menyelubungi pekarangan jabatan itu apabila waris serta warga sekolah terbabit berkumpul sejak pagi tadi bagi menanti urusan bedah siasat.
Sepanjang tempoh berkenaan, ahli keluarga terdekat termasuk bapa Allahyarham, Mohd Idzwan Razali, 48, dan isterinya serta wakil pihak sekolah kelihatan tenang, namun tidak dapat menyembunyikan kesedihan sambil saling menenangkan antara satu sama lain di ruang menunggu jabatan itu.
Pengarah Pendidikan Negeri Perak Datuk Zulkafli Mohamed Mokhtar juga hadir di jabatan forensik itu kira-kira 1.55 tengah hari.
Semalam, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak mengesahkan seorang pelajar tingkatan tiga ditemukan meninggal dunia di sebuah sekolah berasrama penuh di Kuala Kangsar.
Susulan kejadian itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek mengarahkan siasatan dijalankan secara menyeluruh dan telus tanpa sebarang kompromi sekiranya terdapat unsur kecuaian atau pelanggaran prosedur keselamatan.
-- BERNAMA