Skip to main content

Sukan

Khabib tolak tawaran AS$200 juta Jake Paul untuk kembali bertarung, tetap pegang janji kepada ibu

Dalam rakaman video yang dimuat naik ke YouTube, Paul dilihat cuba memujuk Khabib supaya kembali daripada persaraan dengan menawarkan bayaran sebanyak AS$200 juta. - Foto tangkap layar/Jake Paul Biz YouTube
Dalam rakaman video yang dimuat naik ke YouTube, Paul dilihat cuba memujuk Khabib supaya kembali daripada persaraan dengan menawarkan bayaran sebanyak AS$200 juta. - Foto tangkap layar/Jake Paul Biz YouTube

Ringkasan AI

  • Khabib Nurmagomedov menolak tawaran AS$200 juta daripada Jake Paul untuk kembali bertarung, menegaskan wang bukan lagi motivasinya.
  • Khabib kekal dengan keputusan persaraan yang dibuat pada 2020 selepas kematian bapanya, dan berpegang pada janji kepada ibunya.
  • Sejak bersara, Khabib memberi tumpuan kepada kejurulatihan, membimbing juara UFC Islam Makhachev dan sepupunya Umar Nurmagomedov.
Advertisement

LEGENDA seni bela diri campuran (MMA), Khabib Nurmagomedov menolak tawaran lumayan AS$200 juta (kira-kira RM822,517,084) daripada pempengaruh media sosial dan peninju, Jake Paul untuk kembali bertarung, sambil menegaskan bahawa wang bukan lagi motivasinya.

Menurut laporan Sportbible, tawaran itu dibuat ketika Paul bersama rakan perniagaannya, Nakisa Bidarian bertemu bekas juara lightweight UFC itu di belakang pentas sebuah acara Professional Fighters League (PFL) di Dubai, baru-baru ini.

Dalam rakaman video yang dimuat naik ke YouTube, Paul dilihat cuba memujuk Khabib supaya kembali daripada persaraan dengan menawarkan bayaran sebanyak AS$200 juta.

Advertisement

"Bilakah kamu akan kembali? AS$200 juta?" tanya Paul kepada petarung kelahiran Dagestan, Rusia itu.

Bagaimanapun, Khabib yang bersara dengan rekod sempurna 29 kemenangan tanpa kalah memberikan jawapan ringkas, sekali gus menolak tawaran berkenaan.

Advertisement

"Mengapa saya perlu kembali? Saya sudah menentang ramai orang. Tiada apa lagi yang perlu saya buktikan," katanya.

Paul kemudiannya cuba meyakinkan Khabib bahawa penggabungan syarikat promosinya, Most Valuable Promotions (MVP) dengan PFL mampu mengubah landskap MMA, khususnya dengan menyediakan peluang dan kehidupan lebih baik kepada para petarung.

Malah, Paul turut mendakwa penyertaan Khabib dalam organisasi itu berpotensi membawa perubahan besar kepada sukan berkenaan.

Namun, usaha tersebut sekali lagi menemui jalan buntu apabila Khabib menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai sebarang sebab untuk kembali bertarung.

"Tiada lagi lawan, hanya wang. Itu bukan motivasi saya," tegasnya.

Khabib, 38, mengumumkan persaraan daripada MMA pada Oktober 2020 selepas menewaskan Justin Gaethje menerusi teknik kuncian pada pusingan kedua dalam aksi UFC 254 di Abu Dhabi.

Keputusan itu dibuat susulan pemergian bapanya yang juga jurulatih dan mentor, Abdulmanap Nurmagomedov pada Julai tahun sama.

Ketika mengumumkan persaraan, Khabib mendedahkan bahawa beliau telah berjanji kepada ibunya untuk tidak lagi bertarung tanpa kehadiran bapanya.

Malah, beliau sebelum ini turut menegaskan bahawa janji tersebut merupakan antara sebab utama beliau tidak mahu kembali ke gelanggang, meskipun beberapa tawaran lumayan pernah dikemukakan, termasuk daripada Presiden UFC ketika itu, Dana White.

Sejak bersara, Khabib lebih banyak menumpukan perhatian terhadap kerjaya kejurulatihan, khususnya membimbing juara UFC, Islam Makhachev serta sepupunya, Umar Nurmagomedov.

Sementara itu, Paul dijadualkan kembali beraksi dalam sukan tinju menentang bekas juara dunia kickboxing, Cedric Doumbe di Coca-Cola Arena, Dubai pada 24 Disember depan.

Pertarungan itu merupakan sebahagian daripada usaha MVP mengembangkan pengaruhnya dalam sukan tempur susulan pengumuman penggabungan dengan PFL pada Julai lalu.

Must Watch Video

Advertisement