Rakyat Malaysia tidak harus mengharapkan insentif atau pemberian tambahan daripada belanjawan yang bakal dibentangkan, memandangkan kewangan kerajaan, terutama dalam menangani defisit belanjawan semasa, kata Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Group, Datuk Seri Nazir Razak, pada Isnin.

Beliau berkata kerajaan sedang menghadapi tugas berat untuk membuat penyesuaian bagi Bajet 2014, berdasarkan tahap gearan semasa, dalam keadaan global yang tidak menentu.

Beliau berkata sekarang adalah masanya bagi institusi kewangan, serta rakyat memberikan keutamaan kepada agenda kerajaan dalam menguruskan defisit belanjawan itu.

"Kita telah melalui tempoh yang menyaksikan banyak insentif diberikan. Yang lebih penting sekarang ialah kedudukan kewangan kerajaan.

"Jika kerajaan tersalah langkah, penarafan akan menjadi negatif, sekali gus kos pinjaman turut menerima impaknya," katanya pada satu sidang akhbar selepas melancarkan Plug n Pay, sistem pembayaran elektronik terbaru bank itu.

Plug n Pay ialah penyelesaian titik jualan mudah alih berasaskan cip yang pertama seumpamanya di Malaysia, yang menawarkan cara menguruskan pembayaran termampu tetapi selamat kepada perniagaan besar atau kecil, dengan menggunakan telefon pintar dan tablet.

Inisiatif ini sejajar dengan usaha kerajaan untuk menggalakkan penggunaan pembayaran elektronik dan mengurangkan pergantungan kepada transaksi berasaskan tunai untuk mencapai kecekapan ekonomi yang lebih tinggi.

Bank Negara Malaysia berharap dapat meningkatkan jumlah transaksi tanpa tunai per kapita daripada 44 kepada 200 dan mengurangkan penggunaan cek sebanyak lebih daripada separuh daripada 207 juta kepada 100 juta menjelang 2020.

Menyebut hasil satu kaji selidik global, Nazir berkata penyelesaian titik jualan dunia pada masa ini berjumlah 30 juta unit dan angka ini dijangka meningkat lebih sekali ganda dalam tiga hingga lima tahun akan datang, berikutan kemunculan teknologi-teknologi baharu di seluruh dunia. Berdasarkan pertumbuhan ini, beliau yakin tahap penggunaan Plug n Pay CIMB amat tinggi.

"Kemudahan mendapatkan dan kemampuan memiliki telefon pintar serta tablet juga meluas di Malaysia. Justeru itu beralih daripada penggunaan hanya tunai kepada ekosistem yang lebih 'tanpa tunai' merupakan langkah semula jadi," tegas beliau.

Peranti Plug n Pay yang kini sudah berada dalam pasaran, berharga RM250 setiap satu dan boleh menerima kad berjenama MasterCard dan VISA.