KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menggesa pihak kerajaan dan Kementerian Kewangan (MoF) menyiasat penglibatan orang-orang Melayu-Islam dalam aktiviti perjudian.

Membahaskan Bajet 2022, Ketua Pembangkang itu berkata, berdasarkan laporan yang diterimanya, dianggarkan sekitar 45 peratus daripada 62 kelab judi yang dipercayai dianggotai oleh orang Islam.

Tegas beliau, statistik tersebut seolah-olah sengaja disembunyikan oleh pihak kerajaan dengan memberikan lesen perjudian kepada kumpulan tersebut.

"Ini betul-betul melanggar dan dilakukan dengan keadaan terbuka oleh kerajaan Melayu Islam ini, nampak macam unsur melindungi fakta ini.

"Jadi, kita nak tahu berapa jumlah judi mesin slot dan berapa anggota Melayu yang terlibat kerana dalam MySejahtera (memasuki premis judi) jangan nafikan kerana memang ada rekod tentang orang Melayu yang terlibat dalam kes ini. Ini termasuk di Victoria Bukit Kiara yang memang terpapar dalam video," katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Membahas lanjut, Ahli Parlimen Port Dickson itu turut mendesak agar PDRM menyiasat penglibatan seorang individu dikenali sebagai Douglas Chan daripada syarikat GPL Group, yang didakwa bergerak secara bebas dan memiliki jumlah syarikat perjudian yang besar di negara ini.

"Kebebasan (GPL Group) boleh mengundang orang-orang Melayu, mungkin kelas atasan untuk bersama dalam kegiatan perjudian ini.

"Saya juga mahu Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyemak kedudukan (GPL Group) agar dapat dipantau dan tindakan diambil," ujar beliau.

Anwar menambah, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul tengku Abdul Aziz juga perlu menjelaskan mengenai kelulusan syarikat judi kerana sebahagian besar dibuat oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) pada 2018.

Bagaimanapun, Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) kemudian dilihat bangkit dan secara sinis memberitahu Anwar agar tidak 'menekan', kerajaan berhubung isu perjudian.