KUALA LUMPUR: Kerajaan bercadang untuk meningkatkan kadar pencen minimum di bawah Skim Keilatan daripada RM475 kepada RM550 yang melibatkan 56,000 isi rumah, bermula tahun depan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, selain itu, inisiatif lain yang juga dicadangkan ialah penyelarasan faedah-faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada kos sara hidup yang dijangka akan memanfaatkan lebih 400,000 penerima faedah sedia ada.

Dengan peningkatan ini, beliau berkata, kerajaan juga bercadang meningkatkan siling gaji yang diinsuranskan daripada RM4,000 kepada RM5,000 untuk menambah baik liputan keselamatan sosial bagi sembilan juta pekerja yang dilindungi oleh Perkeso.

"Secara keseluruhan, inisiatif ini akan melibatkan penambahan faedah Perkeso yang berjumlah RM267 juta," katanya ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat di sini, pada Jumaat.


Dalam pada itu, Tengku Zafrul memaklumkan, kerajaan bercadang untuk meluaskan pelepasan cukai sehingga RM4,000 ringgit kepada pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) meliputi caruman secara sukarela kepada mereka yang bekerja sendiri dalam sektor gig.

"Untuk terus menggalakkan pekerja swasta mencarum dengan Perkeso dan melindungi mereka yang kehilangan pekerjaan, had pelepasan cukai dinaikkan daripada RM250 kepada RM350 dan skop pelepasan bagi caruman Perkeso turut diperluas meliputi caruman pekerja melalui Sistem Insurans Pekerjaan," ujar Tengku Zafrul lagi.