KUALA LUMPUR : Bajet 2022 yang diumumkan Kementerian Kewangan membuktikan kerajaan tidak meminggirkan masyarakat luar bandar.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, peruntukan yang diumumkan pada kali ini turut mencatatkan pertambahan berbanding sebelum ini.

“Kita akan fokus kepada infrastruktur luar bandar antaranya isu jalan, bekalan elektrik, serta soal baik pulih kediaman serta pembinaan rumah baharu.

“Antara penekanan yang dilihat menerusi peruntukan berkenaan adalah tertumpu kepada Sabah dan Sarawak melibatkan bajet yang besar,” katanya di Parlimen pada Jumaat.



Bajet 2022: Merapatkan jurang ekonomi, pembangunan wilayah, digital

Sementara itu, Mahdzir menyatakan, isu pembangunan masyarakat Orang Asli turut menjadi perhatian menerusi peruntukan yang diumumkan Kementerian Kewangan.

Ini termasuk soal pembangunan pendidikan bagi anak-anak masyarakat Orang Asli.

“Pembangunan masyarakat Orang Asli antara elemen penting Kementerian Pembangunan Luar Bandar yang dilaksanakan menerusi agensi Jakoa.

“Peruntukan lebih RM276 juta diberikan kepada Jakoa untuk menyediakan pelbagai kemudahan termasuk bantuan wang saku persekolahan yang dinaikkan sebanyak RM4 sehari,” katanya lagi.