IPOH: Kerajaan Negeri Perak terus berusaha memperkasakan institusi masjid bukan sahaja sebagai pusat ibadah, malah sebagai hab penyatuan ummah, pembangunan ilmu dan pemangkin literasi digital komuniti.
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata usaha berkenaan dilaksanakan menerusi Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) serta agensi berkaitan seperti Digital Perak, selaras dengan agenda pendigitalan di bawah Pelan Pembangunan Perak Sejahtera 2030.
Beliau berkata perancangan dan inisiatif yang sedang serta akan dilaksanakan kerajaan negeri merangkumi tiga teras utama bagi memastikan masyarakat setempat, termasuk golongan belia, pelajar dan usahawan kecil mendapat manfaat teknologi.
“Teras pertama melibatkan penyediaan infrastruktur dan kemudahan digital di masjid, termasuk inisiatif Perpustakaan Digital Masjid di Masjid An-Nur, Kampar yang dilengkapi komputer dan akses Internet bagi menggalakkan budaya ilmu serta pembelajaran digital.
“Pelaksanaan projek rintis Masjid Pintar atau Smart Masjid berasaskan teknologi Internet Benda (IoT) serta peluasan capaian jalur lebar di masjid-masjid luar bandar turut dipergiatkan bagi memastikan kemudahan asas digital dapat dinikmati oleh ahli-ahli kariah,” katanya ketika sesi soal jawab lisan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini.
Saarani berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Dr Mohamad Yusri Bakir (BN-Ayer Kuning) mengenai perancangan kerajaan negeri menjadikan masjid sebagai pusat pembangunan ilmu, literasi teknologi serta kemudahan digital bagi komuniti luar bandar.
Beliau berkata di bawah teras kedua, kerajaan negeri sedang memperluas jaringan kerjasama strategik antara pengurusan masjid dengan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di bawah Kementerian Komunikasi selain institusi pengajian tinggi dan syarikat korporat, termasuk memberi tumpuan kepada bengkel literasi kecerdasan buatan (AI) untuk komuniti luar bandar.
Menurut Saarani, teras ketiga pula ialah pembudayaan teknologi berteraskan nilai dan etika Islam.
“Kerajaan negeri turut memandang serius aspek penggunaan teknologi secara beretika. Pada peringkat pentadbiran agama, JAIPk sendiri telah mula meneroka penggunaan teknologi AI dalam penyampaian perkhidmatan agama dan syariah di Perak,” katanya.
-- BERNAMA