PUTRAJAYA: Bajet 2022 akan dirangka berdasarkan tiga matlamat utama, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Mohd Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Dalam Kenyataan Pra-Bajet (KPB) pertama negara hari ini, beliau berkata, tiga matlamat itu ialah - melindungi dan memulihkan kehidupan serta mata pencarian; membina semula daya ketahanan negara; dan memangkin pembaharuan.

Tengku Mohd Zafrul berkata, melalui matlamat pertama, Bajet 2022 akan meneruskan usaha pemulihan agar negara berjaya keluar daripada kemelut pandemik COVID-19.

“Ia akan meneruskan agenda memulih kehidupan dan sektor ekonomi yang terjejas pasca-pandemik. usaha juga akan digembleng bagi membantu golongan rentan dan mencipta peluang pekerjaan baharu,” katanya lagi.

Menerusi matlamat kedua pula, Tengku Mohd Zafrul berkata, Bajet 2022 akan memberi penekanan kepada usaha untuk membina semula daya ketahanan sistem kesihatan negara, mempertingkatkan infrastruktur digital, dan teknologi.

Keutamaan, katanya lagi, akan diberikan kepada sektor pendidikan serta penyediaan keperluan, untuk negara beralih kepada sektor industri yang mempunyai produktiviti tinggi, berasaskan teknologi automasi dan kemahiran tinggi.

Sementara itu, matlamat ketiga pula, jelasnya lagi, akan memastikan langkah pembaharuan dilaksanakan dengan memberi penumpuan kepada pencapaian sustainable development goals (SDG), Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

BERIKUT KENYATAAN PENUH PRA-BAJET 2022

Tengku Mohd Zafrul berkata, KPB akan menyediakan lebih banyak peluang kepada semua pihak berkepentingan untuk memberi maklum balas masing-masing ke arah perangkaan sebuah bajet yang memenuhi keperluan rakyat, serta selaras dengan dasar dan objektif negara.

“Ini merupakan KPB yang pertama di dalam sejarah tanah air. Langkah ini bertepatan dengan amalan terbaik di peringkat antarabangsa, iaitu KPB diterbitkan bagi meningkatkan ketelusan proses merangka inisiatif bajet tahunan.

"Selain itu ia juga (bakal) membina keyakinan awam terhadap pengurusan fiskal negara, terutamanya dalam kalangan pelabur,” katanya lagi.