KUALA LUMPUR: Beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M. Thinaah terlepas peluang merangkul gelaran juara Terbuka Perancis 2026 selepas tewas kepada pasangan Jepun, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto pada aksi final di Arena Grand Paris semalam, meskipun memenangi set pertama.
Pasangan pilihan kedua dari Malaysia itu dilihat berada di landasan tepat untuk meraih gelaran berkenaan selepas memenangi set pertama 21-10.
Bagaimanapun, momentum perlawanan berubah apabila pasangan pilihan utama dari Jepun itu bangkit memenangi set kedua 21-17, sebelum mengesahkan kemenangan menerusi set penentuan 21-16, sekali gus mempertahankan gelaran itu selepas bertarung selama 64 minit.
Kekalahan itu menyaksikan pasangan yang kini berada pada ranking keempat dunia tersebut terlepas peluang meraih gelaran Terbuka Perancis buat kali kedua selepas kejayaan pada 2022, selain gagal merangkul gelaran ketiga musim ini susulan kejayaan pada Masters Indonesia pada Januari dan Terbuka Denmark minggu lepas.
Selaku naib juara, Pearly-Thinaah menerima hadiah wang tunai USD33,250 (kira-kira RM135,836), manakala juara membawa pulang USD70,300 (kira-kira RM287,196).
Dalam pada itu, beregu profesional campuran negara, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing gagal menamatkan penantian 26 tahun Malaysia untuk merangkul gelaran dalam kategori itu selepas kecundang kepada pasangan pilihan utama dari China yang juga juara bertahan, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping.
Pang Ron-Pei Jing tewas 10-21, 13-21 dalam tempoh 37 minit, sekali gus menyaksikan Malaysia masih menantikan juara beregu campuran Terbuka Perancis yang baharu selepas kali terakhir gelaran itu dimenangi Chan Chong Ming-Joanne Quay pada 2000.
-- BERNAMA