Ringkasan AI
- Tiada ikan piranha ditemukan sepanjang Program Mitigasi Ikan Asing di Empangan Klau, Raub yang berlangsung selama dua hari bermula semalam.
- Penyelidikan menggunakan kaedah DNA persekitaran sedang dijalankan dan keputusan akhir akan diketahui selepas analisis serta penilaian saintifik selesai.
- Program ini turut merekodkan 156.6 kilogram ikan asing melibatkan Peacock Bass, Tilapia Zebra dan Lampam Jawa serta melibatkan 150 peserta.
KUANTAN: Tiada ikan piranha ditemukan atau ditangkap sepanjang Program Mitigasi Ikan Asing di Empangan Klau, Raub, yang berlangsung selama dua hari bermula Sabtu, kata Ketua Pengarah Perikanan Datuk Adnan Hussain.
Bagaimanapun, keadaan ini tidak boleh ditafsirkan sebagai bukti bahawa spesies berkenaan tiada di empangan berkenaan, susulan laporan terdahulu mengenai penemuan piranha yang telah disahkan di kawasan itu.
Beliau berkata program mitigasi ini adalah antara usaha pengurusan perikanan darat bagi mengawal populasi ikan asing dan mengurangkan risiko gangguan terhadap spesies ikan tempatan.
“Tiada ikan piranha ditemukan atau ditangkap sepanjang program ini. Namun, pemantauan dan penilaian saintifik perlu diteruskan bagi mengenal pasti kehadiran serta taburan spesies berkenaan,” katanya menerusi kenyataan semalam.
Sebelum ini, tular dalam media sosial mengenai penemuan seekor ikan yang didakwa menyerupai jenis piranha di Empangan Klau, Raub, sehingga menimbulkan pelbagai reaksi masyarakat.
DOF dalam kenyataan sama memaklumkan selain aktiviti tangkapan, penyelidikan menggunakan kaedah DNA persekitaran (environmental DNA atau eDNA) turut dilaksanakan dalam program ini bagi membantu mengesan kemungkinan kehadiran ikan piranha di Empangan Klau.
Kaedah ini membolehkan sampel air dianalisis bagi mengesan bahan genetik yang mungkin ditinggalkan oleh organisma akuatik.
“Keputusan akhir penyelidikan eDNA akan ditentukan selepas proses analisis dan penilaian saintifik selesai, justeru sebarang kesimpulan mengenai status kehadiran piranha di Empangan Klau perlu mengambil kira hasil analisis tersebut bersama maklumat pemantauan dan bukti lapangan yang berkaitan,” menurut kenyataan itu.
DOF memaklumkan program ini juga bertujuan mengurangkan populasi ikan asing, menilai komposisi ikan di perairan empangan, serta meningkatkan kesedaran masyarakat tentang ancaman spesies asing terhadap biodiversiti dan keseimbangan ekosistem akuatik.
Program yang dijalankan di empangan berkeluasan kira-kira 25 kilometer persegi itu melibatkan 150 peserta, terdiri daripada 100 pemancing, 32 peserta menjala dan 18 peserta menjaring.
“Sepanjang program, sebanyak 156.6 kilogram ikan asing direkodkan, melibatkan tiga kumpulan utama, iaitu Peacock Bass, Tilapia Zebra dan Lampam Jawa,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA