Skip to main content

Dunia

Presiden Zimbabwe gesa sekatan ditarik balik tanpa syarat

Mnangagwa menegaskan semula komitmen Zimbabwe terhadap kerjasama pelbagai hala, kerjasama antarabangsa dan penyelesaian konflik secara aman. - Gambar fail/REUTERS
Mnangagwa menegaskan semula komitmen Zimbabwe terhadap kerjasama pelbagai hala, kerjasama antarabangsa dan penyelesaian konflik secara aman. - Gambar fail/REUTERS

Advertisement

Ringkasan AI

  • Presiden Zimbabwe, Emmerson Mnangagwa, mendesak penghapusan sekatan Barat ke atas Zimbabwe tanpa syarat, menyatakan sekatan mengekang pembangunan ekonomi negara.
  • Mnangagwa menegaskan kepentingan integrasi serantau dan menghargai sokongan negara anggota SADC dalam usaha memansuhkan sekatan tersebut.
  • Amerika Syarikat menamatkan program sekatan Zimbabwe pada Mac 2024, namun sekatan individu terhadap Mnangagwa dan beberapa pegawai masih berkuat kuasa.

HARARE: Presiden Zimbabwe, Emmerson Mnangagwa pada Ahad mendesak agar sekatan yang dikenakan oleh negara-negara Barat ke atas Zimbabwe dihapuskan tanpa syarat, dengan menegaskan bahawa tindakan berkenaan mengekang pembangunan ekonomi, lapor Xinhua.

Dalam ucapan sempena Hari Antisekatan Komuniti Pembangunan Afrika Selatan (SADC) yang disambut secara tahunan pada 25 Okt, Mnangagwa berkata Zimbabwe mencapai kemajuan ke arah matlamat pembangunannya walaupun berdepan sekatan, selain menekankan bahawa integrasi serantau amat penting untuk mencapai sasaran itu.

Hari Antisekatan SADC ditubuhkan oleh pertubuhan serantau yang dianggotai 16 negara itu pada 2019 sebagai inisiatif kolektif bagi mengecam sekatan yang dikenakan ke atas Zimbabwe berikutan program reformasi tanah di negara itu yang mengagihkan semula tanah daripada minoriti petani kulit putih kepada penduduk pribumi kulit hitam Zimbabwe.

"Sekatan bukan sahaja menghukum negara kami, tetapi juga seluruh keluarga SADC dan menjejaskan peranan Zimbabwe dalam memajukan Afrika yang berintegrasi," kata Mnangagwa yang turut menzahirkan penghargaan kepada negara anggota SADC kerana menyokong desakan memansuhkan sekatan sepihak itu.

"Ini mencerminkan komitmen bersama kita terhadap ketenteraman global yang adil dan saksama, yang mana prinsip kesaksamaan kedaulatan, tidak campur tangan dalam urusan dalaman dan hak berdaulat setiap negara untuk menentukan hala tuju sendiri dihormati," kata Mnangagwa.

Beliau menyeru agar integrasi serantau ditingkatkan, sambil menyatakan SADC dan Pasaran Bersama bagi Afrika Timur dan Selatan menawarkan peluang untuk meningkatkan keterhubungan serantau serta memperkukuh kerjasama dalam bidang perdagangan, industri, pertanian, tenaga dan infrastruktur.

Mnangagwa berkata Zimbabwe akan meluaskan rakan kongsi antarabangsa dan memperdalam integrasi serantau bagi memacu transformasi ekonomi, di samping meneruskan langkah diplomatik dan domestik untuk menarik balik sekatan serta meningkatkan daya saing industri.

Beliau turut menegaskan semula komitmen Zimbabwe terhadap kerjasama pelbagai hala, kerjasama antarabangsa dan penyelesaian konflik secara aman.

Amerika Syarikat meluluskan Akta Demokrasi dan Pemulihan Ekonomi Zimbabwe pada Disember 2001, yang mengehadkan sokongannya terhadap bantuan kewangan pelbagai hala kepada Zimbabwe.

Pada Mac 2024, bekas Presiden AS Joe Biden menandatangani perintah eksekutif menamatkan program sekatan Zimbabwe yang berkuat kuasa sejak 2003.

Bagaimanapun, beliau pada masa yang sama mengenakan sekatan ke atas 11 individu termasuk Mnangagwa dan Naib Presiden Constantino Chiwenga atas dakwaan pencabulan hak asasi manusia dan rasuah di bawah Akta Akauntabiliti Hak Asasi Manusia Global Magnitsky.

-- BERNAMA-XINHUA

 

Must Watch Video

Advertisement