PADANG RENGAS: Pembentangan Bajet Negeri Perak 2023 tidak akan diawalkan, kata Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Sebaliknya, kata beliau, ia akan dibentangkan mengikut jadual iaitu pada bulan November depan.

Menurutnya, ketika ini kerajaan negeri sedang dalam peringkat mengadakan sesi libat urus membabitkan Pegawai Kewangan Negeri bersama-sama exco-exco kerajaan negeri.

"Semua negeri akan membentang bajet selepas bajet persekutuan sebab kita nak tengok ada tak bajet persekutuan yang memasukkan perkara-perkara yang negeri mahukan. Jadi, mana-mana yang tercicir daripada persekutuan, kita kena tampung dengan bajet negeri.

"Biasanya selepas bajet persekutuan, kita ada lagi sesi akhir untuk membuat sesi libat urus,” katanya ketika ditemui selepas Program Penghijauan Malaysia: Menteri Besar bersama pelajar negeri Perak di Maktab Rendah Sains Mara Sultan Azlan Shah Kuala Kangsar, di sini, hari ini.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengesahkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2023 akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 7 Oktober depan.

BACA: Belanjawan 2023 dibentang 7 Okt - Wan Junaidi

Beliau memaklumkan, Belanjawan 2023 akan dibentang pada sesi sidang Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen Ke-14 (2002) yang bermula pada 3 Oktober nanti.

Astro AWANI pada Jumaat melaporkan, pembentangan Belanjawan 2023 akan berlangsung pada Oktober 7, 2022, menjadikan tiga minggu lebih awal dari tarikh yang telah disebut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Mohd Zafrul Tengku Abdul Aziz sebelum ini.