JEMPOL: Tambahan kewangan bagi Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) yang diumumkan pada pembentangan Bajet 2023 semalam bukan sahaja melibatkan pekebun kecil Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), sebaliknya ia turut membabitkan pekebun kecil Felda.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia melibatkan tambahan RM200 sebulan selama empat bulan dengan mengambil kira musim tengkujuh yang lebih panjang berbanding sebelum ini.

“Elaun bantuan musim hujan kepada penoreh getah ini kalau dahulu kita wujudkan sumbangan kepada golongan itu sewaktu musim tengkujuh hanya RM600 kerana saya katakan dahulu musim hujan dua hingga tiga bulan sahaja.

“Sekarang ini musim hujan dari November sampai Februari pun sudah empat bulan. Jadi kerajaan buat keputusan beri RM200 selama empat bulan, (maknanya) dulu RM600 sekarang RM800, itu untuk pekebun kecil Risda.

“Saya nak umumkan juga apa yang pekebun kecil Risda dapat, pekebun Felda juga akan dapat yang mana dahulu kerajaan tidak boleh beri kepada Felda kerana tidak silap saya (syarat) kena lima ekar ke bawah menyebabkan pekebun Felda tidak layak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Kenduri Sekampung Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Palong 7 di sini pada Sabtu.

BACA: Bantuan Musim Tengkujuh naik kepada RM800

BACA: Teks penuh ucapan Bajet 2023

SEGALANYA MENGENAI BAJET 2023, KLIK DI SINI!

Hadir sama Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Mastura Mohd Yazid; dan Pengerusi Risda yang juga Ahli Parlimen Jempol Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif.

Dalam pada pada itu katanya, Bajet 2023 diumumkan semalam yang membabitkan peruntukan RM372.3 bilion jelas membuktikan tiada lapisan masyarakat yang akan terpinggir daripada menerima semua manfaat yang dibentangkan.

“Kita nak semua mendapat faedah daripada bajet ini supaya kita makmur secara bersama dan bajet semalam jelas menunjukkan tidak ada sesiapa terpinggir mahupun tertinggal daripada menerima manfaat,” tambahnya.