Skip to main content

Dunia

Marwan Barghouti, anak lelaki Presiden Palestin dipilih anggotai badan tertinggi Fatah

81760165879_MarwanBarghouti.jpg
Barghouti dipenjarakan oleh Israel sejak 2002. - Foto fail/AP

RAMALLAH: Pemimpin Palestin yang dipenjarakan, Marwan Barghouti dan anak kepada Presiden Mahmoud Abbas berjaya memperoleh kerusi dalam badan kepimpinan Fatah ketika kumpulan itu menamatkan kongres tiga harinya pada Isnin, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Memetik keputusan rasmi awal, Fatah dalam satu kenyataan memaklumkan 18 anggota dipilih menganggotai Jawatankuasa Pusat kumpulan itu, dengan Barghouti memperoleh jumlah undi tertinggi. Barghouti dipenjarakan oleh Israel sejak 2002.

Yasser Abbas, anak kepada presiden Palestin, turut dipilih menganggotai jawatankuasa bersama Ketua Perkhidmatan Perisikan Palestin Majed Faraj, Presiden Persatuan Bola Sepak Palestin Jibril Rajoub, Naib Presiden Hussein al-Sheikh dan Zakaria Zubeidi, bekas komander Briged Syuhada Al-Aqsa.

Pengumuman itu dibuat ketika Fatah menutup kongres kelapannya di ibu pejabat presiden Palestin di Ramallah, Tebing Barat.

Dalam kenyataan penutup, kumpulan itu menuduh Israel terus mengenakan “cabaran bersifat kewujudan” terhadap rakyat Palestin di tengah-tengah sekatan berterusan ke atas Semenanjung Gaza dan peningkatan serangan di Tebing Barat yang diduduki serta Baitulmuqaddis Timur.

“Fatah akan meneruskan perjuangan melalui semua saluran politik dan rakyat bagi menamatkan pendudukan serta menubuhkan negara Palestin merdeka yang berdaulat sepenuhnya,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menegaskan bahawa Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) adalah “satu-satunya wakil sah rakyat Palestin” dan sebarang usaha ke arah perpaduan nasional mesti dilaksanakan dalam rangka organisasinya serta berdasarkan komitmen terhadap keputusannya.

Fatah turut menegaskan bahawa Baitulmuqaddis adalah “ibu negara abadi Negara Palestin” dan berikrar untuk terus menentang usaha mengyahudikan bandar itu serta mengubah ciri agama dan sejarahnya.

Mengenai Gaza, kenyataan itu menyifatkan wilayah berkenaan sebagai “rahim revolusi” sambil menegaskan bahawa “tiada negara tanpa Gaza dan tiada negara di Gaza.” Ia turut menggesa penamatan serangan Israel di wilayah itu, penarikan sekatan, kemasukan bantuan dan mempercepatkan usaha pembinaan semula.

Fatah menegaskan yang sebarang pengaturan masa depan di Gaza mesti dilaksanakan secara eksklusif dalam rangka kerajaan Palestin.

Kumpulan itu turut menggesa negara Arab memikul tanggungjawab dan memenuhi komitmen kewangan serta politik mereka terhadap perjuangan Palestin. Selain itu, Fatah menegaskan komitmennya terhadap reformasi dalaman serta memperkukuh prinsip tadbir urus baik, ketelusan dan akauntabiliti.

Fatah mengadakan kongres pertamanya di Damsyik pada 1967.

Kumpulan itu mengadakan kongres kedua di Zabadani, Syria pada 1968, yang menyaksikan pemilihan Jawatankuasa Pusat baharu dengan 10 anggota serta pembentukan Majlis Revolusi. Kongres ketiga diadakan pada 1971, kongres keempat pada 1980 di Damsyik dan kongres kelima pada 1988 di Tunisia.

Kongres kelapan merupakan kali ketiga diadakan di Palestin selepas mesyuarat sebelumnya di Baitul Laham pada 2009 dan Ramallah pada 2016.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

TAG: Palestin, Fatah, Marwan Barghouti

Must Watch Video