BUSINESS
Bank Dunia puji Malaysia dalam pensijilan halal, mekanisme harga telur

Sanghi berkata tindakan mengurangkan halangan birokrasi dalam pensijilan halal akan meningkatkan lagi perdagangan halal antara Malaysia dan Indonesia. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Langkah Malaysia memeterai perjanjian pensijilan halal dengan Indonesia serta pemansuhan kawalan harga telur secara berperingkat, mendapat perhatian serta pujian Bank Dunia yang menyifatkannya sebagai positif dalam landskap ekonomi negara.
Ringkasan AI
- Malaysia menerima pujian atas perjanjian pensijilan halal dengan Indonesia, pemansuhan kawalan harga telur secara berperingkat, serta pelesenan digital bagi pengangkutan kereta api Malaysia-Thailand yang dilihat sebagai langkah positif bagi perdagangan serantau.
- Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia, Apurva Sanghi, mengingatkan bahawa lonjakan eksport dan pengukuhan ringgit mungkin bersifat sementara akibat ketidaktentuan perdagangan global serta kelemahan dolar AS.
- Apurva menyokong langkah syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) untuk meningkatkan gaji pekerja berpendapatan rendah tetapi menekankan bahawa dasar tersebut perlu disokong dengan peningkatan produktiviti untuk memastikan kelangsungan jangka panjangnya.
"Ini menunjukkan halangan bukan tarif dalam ASEAN ini masih boleh diatasi," kata Apurva dalam catatan di akaun X hari ini.
Menyentuh penamatan kawalan harga telur secara berperingkat, Apurva berkata ini wajar dipuji kerana memaparkan langkah yang jarang diambil serta kesannya ke atas pasaran, lebih-lebih lagi Malaysia kerap melaksanakan serta menarik balik kawalan harga sewaktu musim perayaan.
"Ini seperti kawalan harga ke atas bawal putih dan bawang putih Cina yang diimport ketika Tahun Baharu Cina dan ke atas daging kerbau serta ikan tenggiri yang diimport ketika Aidilfitri," katanya.
Mengulas pengukuhan eksport, nilai ringgit dan petunjuk ekonomi lain yang positif, Apurva bagaimanapun mengingatkan mengenai impak memberi tafsiran keterlaluan terhadap aliran berkenaan.
"Lonjakan eksport semasa itu sebahagian besarnya disebabkan oleh tindakan penghantaran barangan lebih awal menjelang ketidaktentuan perdagangan global dan berkemungkinan besar bukan bersifat mampan.
"Begitu juga, pengukuhan ringgit itu hanya memaparkan kelemahan dolar AS berbanding lonjakan sebenar kekukuhan nilai ringgit. Pasaran pertukaran asing kekal terlalu goyah untuk membolehkan satu rumusan kukuh dapat dibuat," katanya.
Selain itu, Apurva menyambut baik langkah kolektif syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) untuk melaksanakan gaji kehidupan wajar yang bakal memberi manfaat kepada pekerja berpendapatan rendah.
Namun, pada masa sama, beliau mengingatkan bagi memastikan kemampanannya, dasar itu perlu disokong oleh peningkatan produktiviti.
"Masih perlu dilihat sama ada inisiatif ini akan mempengaruhi majikan lain, terutamanya dalam sektor swasta formal dengan kira-kira dua juta pekerja masih berpendapatan di bawah paras gaji sara hidup.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami