JOHOR BAHRU: Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) membatalkan Lesen Pengendali sebuah syarikat pengangkutan yang terlibat dalam insiden sebuah treler melanggar van sehingga menyebabkan tiga maut di persimpangan Taman Golden Hill, Gemas Baharu dekat Segamat pada 2 April lepas.
APAD dalam kenyataan memaklumkan Mesyuarat Jawatankuasa Penggantungan dan Pembatalan Lesen (JPPL) APAD Bilangan 3 Tahun 2026 yang bersidang semalam, memutuskan bahawa syarikat MFG Barokah Enterprise LA gagal memenuhi syarat lesen di bawah Seksyen 57(1)(b)(viii), Seksyen 58(1)(b) dan Seksyen 58(1)(c) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715].
Advertisement
Menurut APAD, hasil siasatan mendapati syarikat gagal mematuhi Perkara 30 Keperluan Tahap Perkhidmatan termasuk dalam mematuhi Kod Amalan Keselamatan Industri (ICOP), selain gagal memastikan kenderaan diselenggara dengan baik.
Selain itu, syarikat juga gagal mengawal dan menjaga kelakuan pemandu yang turut gagal mengutamakan keselamatan pengguna jalan raya lain dan mempunyai rekod pemanduan melebihi had laju yang dibenarkan.
"Sehubungan dengan itu, selaras dengan kuasa yang diperuntukkan di bawah Seksyen 62 Akta 715, APAD memutuskan untuk membatalkan Lesen Pengendali 202303040540 (syarikat berkenaan) berkuat kuasa hari ini," menurut kenyataan itu.
APAD menjelaskan bahawa dengan pembatalan tersebut, syarikat berkenaan tidak lagi dibenarkan untuk mengendalikan atau menawarkan sebarang perkhidmatan menggunakan mana-mana kenderaan yang dilesenkan di bawah Lesen Pengendali itu.
Semua pengendali berlesen wajib mematuhi syarat-syarat lesen yang ditetapkan dari semasa ke semasa bagi mengelakkan kejadian tidak diingini sehingga boleh menyebabkan lesen dibatalkan, menurut agensi itu.
APAD kekal komited dalam memastikan sistem pengangkutan awam darat yang holistik, cekap, efisien, selamat dan berdaya saing demi manfaat rakyat, selaras dengan nilai teras Malaysia MADANI, iaitu kesejahteraan dan ihsan.
Dalam kejadian itu, tiga individu termasuk sepasang suami isteri maut, manakala dua lagi cedera selepas sebuah treler melanggar bahagian belakang van dinaiki mangsa.
Pada Selasa lepas, pemandu treler yang terlibat dalam kemalangan itu turut didakwa di Mahkamah Majistret Segamat.
-- BERNAMA