KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 1.75 peratus.

BNM berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan unjuran bahawa pertumbuhan ekonomi global akan kekal perlahan dalam masa terdekat.

“Hal ini disebabkan terutamanya oleh ketidakpastian berhubung dengan munculnya varian (COVID-19) yang membimbangkan, risiko gangguan rantaian bekalan global yang berlanjutan dan potensi risiko volatiliti pasaran kewangan yang ketara berikutan pelarasan dasar monetari ekonomi utama,” kata BNM dalam satu kenyataan hari ini.

Antara lain, pengurangan OPR sering kali akan mengurangkan jumlah pembayaran semula beberapa jenis pinjaman, termasuk pinjaman peribadi dan pinjaman sewa beli kenderaan.

Justeru, BNM lazimnya akan mengekal atau menurunkan OPR ketika pertumbuhan ekonomi perlahan atau tidak menentu, bagi mengurangkan komitmen bulanan orang ramai dan meningkatkan pendapatan boleh guna.

BNM menjangka, momentum pertumbuhan ekonomi akan dipengaruhi oleh kelancaran pemberian vaksin serta pelonggaran langkah-langkah pembendungan COVID-19.

“Bagi Malaysia, kegiatan ekonomi menjadi lemah pada suku ketiga berikutan pelaksanaan langkah-langkah pembendungan di seluruh negara bagi mengekang penularan semula kes COVID-19.

“Walau bagaimanapun, selaras dengan pelonggaran sekatan, penunjuk berfrekuensi tinggi yang terkini menunjukkan bahawa kegiatan ekonomi telah pulih daripada paras terendah pada bulan Julai,” kata BNM.

Bank pusat menjangka menjelang 2022, momentum pertumbuhan dijangka semakin baik, disokong oleh pengembangan permintaan global dan peningkatan perbelanjaan sektor swasta, sejajar dengan penyambungan semula kegiatan ekonomi dan sokongan dasar yang berterusan.

Walau bagaimanapun, ia menjangka pertumbuhan ekonomi akan terus cenderung ke arah pertumbuhan yang lebih perlahan akibat dipengaruhi oleh faktor tempatan dan antarabangsa.

“Hal ini termasuk pemulihan pertumbuhan global yang lebih rendah daripada jangkaan, gangguan rantaian bekalan yang semakin teruk dan pelaksanaan semula langkah-langkah pembendungan akibat kesan varian baharu COVID-19 yang membimbangkan,” katanya.

Kali terakhir BNM menyemak semula kadar OPR adalah pada Julai 2020, di mana ia menurunkan kadar itu daripada 2.00 peratus kepada kadar 1.75 peratus yang kekal sehingga sekarang.