BISNES
Batik Air akan lancar sembilan laluan baharu Disember depan

Batik Air berkata pengembangan itu termasuk laluan baharu dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang (SZB) ke Singapura, Jakarta, Langkawi dan Johor Bahru. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Batik Air akan mengukuhkan jejak serantaunya dengan pelancaran sembilan laluan baharu pada 8 Disember, 2025, satu perkembangan penting yang menggariskan cita-cita syarikat penerbangan itu untuk meningkatkan kesalinghubungan di Malaysia dan Asia Tenggara.
Ringkasan AI
- Batik Air lancar sembilan laluan baharu mulai 8 Disember 2025, termasuk dari Subang ke Singapura, Jakarta, Langkawi dan Johor Bahru, serta laluan baharu dari Pulau Pinang dan Ipoh.
- Subang dan Pulau Pinang dijadikan hab strategik, manakala semua penerbangan Lion Group akan beroperasi dari Terminal 4 Changi bermula November 2025.
- Langkah ini sokong Pelan Penjanaan Semula Subang dan Melawat Malaysia 2026, meningkatkan kesalinghubungan serantau dan mempromosikan pelancongan serta perdagangan.
Pada masa sama, Pulau Pinang akan memainkan peranan lebih strategik dalam rangkaian Batik Air dengan perkhidmatan baharu ke Singapura, Medan, Kuching dan Kota Kinabalu, meletakkan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PEN) sebagai penghubung utama rantau ini dengan Sabah dan Sarawak serta negara jiran.
Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (IPH) di Ipoh juga akan ditambah kepada rangkaian syarikat penerbangan itu melalui penerbangan terus baharu ke Singapura, katanya.
Ia berkata bermula November 2025, semua syarikat penerbangan Lion Group termasuk Batik Air akan beroperasi dari Terminal 4 Lapangan Terbang Changi, menawarkan kemudahan lebih baik dan sambungan lebih lancar untuk penumpang.
Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air Datuk Chandran Rama Muthy berkata pengembangan itu mencerminkan perancangan teliti dan visi yang jelas untuk penerbangan serantau dengan strategi syarikat penerbangan itu memfokuskan kepada menghubungkan bandar-bandar sekunder, mengukuhkan kehadiran ASEAN dan mewujudkan koridor perjalanan untuk mempromosikan pelancongan, perdagangan dan pembangunan ekonomi.
"Laluan baharu ini bukan sekadar mengembangkan rangkaian kami, ia memberi petunjuk hala tuju kami sebagai syarikat penerbangan.
"Dengan melabur di Subang dan Pulau Pinang sebagai hab dan memanfaatkan Singapura sebagai sumber penting pelancong masuk, kami juga menyokong persiapan untuk Melawat Malaysia 2026, memastikan lebih ramai pengembara dapat melancong ke Malaysia dengan lebih mudah," katanya.
Chandran berkata pelancaran itu akan membuka peluang baharu untuk pengembara, perniagaan dan komuniti, laluan itu mencerminkan pendekatan strategik Batik Air untuk menghubungkan hab domestik utama dengan destinasi antarabangsa yang dipilih dengan teliti, memenuhi keperluan pelancong tempatan (Malaysia).
"Sembilan perkhidmatan baharu itu menunjukkan komitmen syarikat penerbangan itu untuk memberikan pilihan yang lebih besar, kemudahan dan perjalanan yang lancar, menetapkan penanda aras baharu untuk ketersambungan serantau," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami