KUALA LUMPUR: ASEAN perlu kekal komited terhadap keterbukaan, keterangkuman serta kerjasama antarabangsa dalam usaha menangani cabaran global serta memanfaatkan peluang pertumbuhan baharu di peringkat serantau.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kesediaan pemimpin ASEAN untuk bertemu dan berinteraksi dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin, mencerminkan prinsip centrality ASEAN serta kesanggupan rantau itu untuk mengatasi prejudis dalam hubungan antarabangsa.
Beliau berkata, gangguan geopolitik dan ekonomi semasa bukan sekadar cabaran, sebaliknya boleh membuka ruang kepada pembaharuan sekiranya diurus dan dimanfaatkan dengan baik.
“Tiada negara, walau sebesar dan sekuat mana sekalipun, mampu mengharungi cabaran ini secara bersendirian.
"Justeru, negara dan rantau perlu memperkukuh kesalinghubungan, memperdalam kepercayaan serta memperluas kerjasama praktikal,” katanya.
Anwar berkata demikian dalam ucapannya sempena Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia di Kazan, Rusia yang turut menekankan kedudukan ASEAN sebagai antara rantau ekonomi paling dinamik di dunia dengan kelas pertengahan yang berkembang pesat, ekonomi digital yang rancak serta populasi muda sebagai pemacu inovasi.
Beliau turut menegaskan komitmen ASEAN terhadap keterbukaan, keterangkuman dan kerjasama, dengan prinsip centrality kekal menjadi teras pendekatan dasar luar rantau itu.
“Dalam fasa ini, kita bukan sahaja mahu meneruskan hubungan dengan Rusia, tetapi memperkukuh kerjasama kerana hakikatnya kita masih belum menjadi rakan ekonomi utama, sedangkan potensi ASEAN, Tatarstan dan Rusia amat besar,” katanya.
Menurut beliau, sektor swasta dan komuniti perniagaan perlu memainkan peranan lebih besar dalam merealisasikan potensi tersebut, kerana dasar kerajaan semata-mata tidak mencukupi untuk memperkukuh kerjasama ekonomi yang lebih mendalam.
Anwar turut mengalu-alukan pemuktamadan ASEAN-Russia Strategic Program on Trade and Investment Cooperation 2026–2035, yang disifatkan sebagai pelan hala tuju penting bagi fasa baharu hubungan ekonomi kedua-dua pihak.
“Namun seperti yang kita tahu, rangka kerja sahaja tidak mencukupi. Kita perlu mewujudkan persekitaran yang kondusif, dasar yang menyokong, menghapuskan halangan serta memudah cara kerjasama ekonomi,” katanya.
Beliau berkata, forum seperti sidang kemuncak ini amat penting kerana menjadi platform untuk membina jaringan, perkongsian serta idea yang dapat memperkukuh kerjasama serantau dan antarabangsa.