Skip to main content

Malaysia

Lahir tanpa jari, wanita OKU berjaya bina kerjaya bidang jahitan

PASIR PUTEH, 17 Jun -- Tukang jahit Orang Kelainan Upaya (OKU) kategori fizikal Liza Mamat, 46, melakukan kerja-kerja menjahit baju yang telah dipotong mengikut citarasa dan kehendak pelanggan ketika ditemui Bernama di Kampung Tasek, Bukit Jawa baru-baru ini.  Dilahirkan tanpa kelima-lima jari tangan kiri tidak pernah menghalangnya untuk membina kehidupan berdikari menerusi bidang jahitan yang kini menjadi sumber rezekinya sejak lebih 23 tahun lalu.  Kekurangan fizikal yang dialaminya sejak lahir bukan alas
Liza berkata dia sentiasa memastikan setiap tempahan disiapkan dengan teliti kerana kepuasan pelanggan menjadi keutamaan dalam mengekalkan kepercayaan dibina bertahun-tahun. - Bernama

PASIR PUTEH: Kekurangan fizikal sejak lahir bukan penghalang buat seorang wanita dari Kampung Tasek, Bukit Jawa di sini untuk berjaya dalam bidang jahitan yang turut menjadi punca pendapatan utama keluarga sejak lebih dua dekad lepas.

Bagi Liza Mamat, 46, yang dilahirkan tanpa kelima-lima jari tangan kiri bukan alasan untuk bergantung kepada orang lain, sebaliknya menjadi pemangkin untuk dia menguasai kemahiran yang mampu menjamin masa depan keluarga.

Ibu kepada empat anak itu berkata minat terhadap dunia jahitan berputik ketika remaja selepas sering melihat kakaknya, Yati, 55, menyiapkan pelbagai tempahan pakaian wanita termasuk baju kurung.

Tertarik dengan kemahiran itu, Liza mengikuti kursus jahitan di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP) Bangi, Selangor pada 2003 bagi mendalami bidang berkenaan.

“Ketika itu saya sedar saya perlu mempunyai kemahiran sendiri untuk membantu menyara kehidupan walaupun tidak mempunyai pendidikan tinggi. Jadi saya memilih untuk belajar menjahit dan berusaha menguasainya sebaik mungkin,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Menurut Liza, cabaran terbesar pada peringkat awal ialah menyesuaikan diri dengan penggunaan mesin jahit dan pelbagai peralatan yang kebanyakannya direka untuk individu mempunyai kedua-dua tangan sempurna.

“Antara kesukaran saya hadapi ialah menggunakan peralatan yang memerlukan kedua-dua belah tangan, termasuk ketika memegang alat jahitan dan memotong kain.

“Namun, saya tidak pernah berputus asa. Melalui latihan berterusan, saya berjaya menemukan teknik dan kaedah sendiri yang memudahkan kerja menjahit,” katanya.

Selepas menamatkan kursus selama kira-kira sembilan bulan, Liza mula menerima tempahan secara kecil-kecilan daripada jiran dan kenalan rapat sebelum jumlah pelanggannya terus meningkat dari semasa ke semasa.Kini, dia mampu menghasilkan pelbagai jenis pakaian termasuk baju kurung dan baju Melayu, selain menawarkan perkhidmatan membaiki serta mengubah suai pakaian.

Menurut Liza, setiap pasang pakaian mengambil masa kira-kira dua jam untuk disiapkan dengan kadar upah RM45 hingga RM100 bergantung kepada rekaan, dan mampu menyiapkan sehingga 60 tempahan sebulan.

“Dalam sehari saya boleh menyiapkan kira-kira tiga pasang pakaian. Memandangkan saya bekerja dari rumah, saya mempunyai fleksibiliti untuk mengurus masa dan menjahit mengikut kesesuaian.

“Alhamdulillah, pelanggan masih mempercayai hasil kerja saya. Malah, ramai yang menjadi pelanggan tetap dan menggunakan khidmat saya setiap kali musim perayaan atau majlis tertentu,” katanya.

Liza berkata dia sentiasa memastikan setiap tempahan disiapkan dengan teliti kerana kepuasan pelanggan menjadi keutamaan dalam mengekalkan kepercayaan dibina bertahun-tahun.

Menurutnya, sokongan keluarga terutama suami Mohd Kufri Omar, 47, yang juga OKU fizikal, menjadi sumber kekuatan untuk terus bertahan dalam bidang tersebut walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran.

“Saya tidak pernah menganggap kekurangan fizikal sebagai penghalang untuk berjaya. Sebaliknya, saya menjadikannya motivasi untuk membuktikan kemampuan diri.

“Jika kita terlalu memikirkan kekurangan yang ada, kita tidak akan ke mana-mana. Saya percaya setiap orang mempunyai kelebihan dan peluang untuk berjaya mengikut cara masing-masing,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement