KUALA LUMPUR: Aspek keselamatan perlu dijadikan keutamaan dalam usaha merancakkan pembangunan ekonomi dan menarik lebih banyak pelaburan ke Langkawi, kata Pengerusi Anak Muda MADANI Kedah, Datuk Zuraidi Rahim.
Beliau berkata, sasaran kedatangan sehingga 3.5 juta pelancong ke Langkawi mampu dicapai sekiranya pulau peranginan itu menawarkan jaminan keselamatan yang tinggi kepada pelancong dan pelabur.
“Dalam konteks pelaburan, aspek keselamatan merupakan perkara yang sangat penting. Pelabur yang ingin masuk ke Langkawi pasti akan menilai tahap keselamatan terlebih dahulu. Jika mereka tidak yakin dengan aspek tersebut, mereka akan memilih destinasi lain untuk melabur," katanya dalam bual bicara sebuah stesen televisyen, baru-baru ini.
Menurut Zuraidi, kejayaan penganjuran acara bertaraf antarabangsa seperti Le Tour de Langkawi membuktikan bahawa keselamatan yang baik mampu meningkatkan keyakinan pelbagai pihak terhadap Langkawi sebagai destinasi pelancongan dan pelaburan.
Berkongsi lanjut, beliau mengambil contoh usaha yang digerakkan di Langkawi dengan penyediaan perkhidmatan ambulans air yang disifatkan sebagai satu pelaburan keselamatan penting untuk penduduk serta pelancong di pulau-pulau sekitar Langkawi.
Menurutnya, sebelum ini pihak berkaitan terpaksa menyewa bot persendirian dengan kos mencecah RM2,500 bagi setiap perjalanan untuk membawa pesakit atau jenazah ke hospital.
Ujarnya, kemudahan itu bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk setempat malah meningkatkan keyakinan pelancong yang berkunjung ke Langkawi.
"Sebelum ini ada kemudahan tertentu tetapi pengguna perlu menanggung kos yang tinggi. Dengan adanya ambulans air, pelancong dan penduduk dapat menikmati perkhidmatan kecemasan yang lebih mudah dan berkesan," tambahnya.
Zuraidi yang juga anak jati Langkawi berkata, aspek keselamatan tidak boleh dipisahkan daripada pembangunan ekonomi sesebuah destinasi pelancongan.
Menurut beliau, penyediaan kelengkapan keselamatan akan menjadikan Langkawi sebuah destinasi pelancongan yang lebih diyakini, sekali gus menarik lebih ramai pelabur dan pelancong.
"Perkara ini amat penting untuk memastikan peningkatan ekonomi berlaku secara mampan dan memberi manfaat kepada seluruh masyarakat," katanya.
Mengulas cadangan konsep sama diperluaskan ke pulau-pulau lain di negara ini, beliau berpandangan langkah tersebut wajar dipertimbangkan oleh kerajaan.
Beliau turut mencadangkan agar kerajaan negeri dan Persekutuan memperkukuhkan kerjasama dalam membawa teknologi maju, institusi pendidikan tinggi dan kemudahan kesihatan yang lebih baik ke Langkawi.
Tambah Zuraidi, gabungan antara keselamatan, teknologi, kesihatan dan pembangunan ekonomi mampu menjadikan Langkawi sebagai model destinasi pelancongan yang selamat, moden dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.