Skip to main content
Advertisement

Bisnes

Bekas Presiden SIRIM Mohamed Ariffin Aton meninggal dunia

Allahyarham Mohamed Ariffin menerajui SIRIM sebagai Presiden dan Ketua Eksekutif dari 1996 hingga 2007, dengan latar belakang kerjaya yang merangkumi bidang kejuruteraan, akademik dan penyelidikan industri. - Foto Dagang News
Allahyarham Mohamed Ariffin menerajui SIRIM sebagai Presiden dan Ketua Eksekutif dari 1996 hingga 2007, dengan latar belakang kerjaya yang merangkumi bidang kejuruteraan, akademik dan penyelidikan industri. - Foto Dagang News

Advertisement

KUALA LUMPUR: Bekas Presiden dan Ketua Eksekutif SIRIM Berhad, Datuk Dr Mohamed Ariffin Aton, seorang tokoh yang disegani dalam bidang sains dan perindustrian negara, meninggal dunia pada pukul 5.51 pagi ini.

Berita pemergian Allahyarham pada usia 81 tahun, dimaklumkan oleh ahli keluarganya menerusi satu perkongsian hari ini.

“Dukacita dimaklumkan bahawa ayahanda tercinta kami Datuk Dr Mohamed Ariffin bin Hj Aton telah kembali ke rahmatullah pada pukul 5.51 pagi tadi, Rabu, 28 Oktober 2026,” menurut makluman tersebut.

Menurut keluarganya, jenazah akan dibawa ke Masjid Al Ehsan, SS4A/4, Kelana Jaya untuk solat jenazah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kota Damansara, Seksyen 9.

Allahyarham menerajui SIRIM sebagai Presiden dan Ketua Eksekutif dari 1996 hingga 2007, dengan latar belakang kerjaya yang merangkumi bidang kejuruteraan, akademik dan penyelidikan industri.

Kerjaya merentasi dunia akademik dan industri

Allahyarham memulakan kerjaya sebagai jurutera proses di Esso Refinery pada 1970 dan berkhidmat di syarikat itu sehingga 1972.

Beliau turut menjadi pensyarah separuh masa di Institut Teknologi MARA pada 1971 sebelum meneruskan kerjaya akademik di Universiti Kebangsaan Malaysia, tempat beliau berkhidmat selama hampir 18 tahun.

Pada 1989, Allahyarham menyertai Petronas Research & Scientific Services Sdn. Bhd. dan kemudian memegang jawatan Pengarah Urusan sebelum menerajui SIRIM pada 1996.

Allahyarham memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Kepujian dalam Kejuruteraan Kimia dari University of Surrey serta ijazah kedoktoran dalam bidang sama dari University of Leeds, United Kingdom.

Beliau juga merupakan Fellow Akademi Sains Malaysia, ahli Institut Jurutera Malaysia dan ahli kimia bertauliah.

Selain kepimpinan di SIRIM, Allahyarham pernah menganggotai lembaga pengarah beberapa syarikat dan institusi termasuk HeiTech Padu Berhad, Kumpulan Perangsang Selangor Berhad, Perisai Petroleum Teknologi Berhad dan Malaysian Technology Development Corporation. - DagangNews.com
 

Must Watch Video

Advertisement