KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyambut baik Belanjawan 2023 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, belanjawan kali ini merupakan belanjawan yang inklusif dan bertujuan menambah baik sistem perlindungan sosial Malaysia.

"Perubahan landskap memperkukuhkan lagi keperluan dan kesegeraan bagi Malaysia untuk bertindak selaras dengan perubahan semasa bagi memelihara keselamatan pendapatan rakyat Malaysia semasa usia tua.

"Beberapa perkara yang dibangkitkan oleh KWSP, terutamanya mengenai simpanan persaraan yang sangat rendah dan kesejahteraan kewangan jangka panjang rakyat Malaysia, juga termasuk dalam belanjawan tersebut," jelasnya dalam kenyataan, di sini. hari ini.

KWSP jelasnya mengalu-alukan inisiatif Kerajaan bagi menggalakkan ahli KWSP yang mempunyai simpanan rendah dan menghampiri usia persaraan untuk menyimpan secara berterusan bagi membantu mempercepatkan pengumpulan simpanan persaraan.


"Kerajaan akan memperuntukkan anggaran sebanyak RM1 bilion bagi menyumbang sebanyak RM500 dengan bayaran secara sekali gus (one-off) kepada lebih kurang 2 juta ahli yang berumur antara 40 tahun hingga di bawah 55 tahun dan mempunyai simpanan KWSP sebanyak RM10,000 dan ke bawah dalam Akaun 1 mereka.

"KWSP akan memperincikan inisiatif ini dan pengumuman lanjut mengenai pelaksanaannya akan dibuat dalam masa terdekat," jelas kenyataan itu lagi.

KWSP turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan yang melanjutkan program Insentif Caruman Padanan (i-Saraan) bagi tahun 2023 dan meningkatkan had maksimum insentif caruman padanan kepada RM300 setahun.

Belanjawan 2023 memperuntukkan RM388.1 bilion - PM

"Inisiatif ini akan memberi manfaat kepada ahli di bawah i-Saraan yang berada di luar sektor formal termasuk suri rumah, dan membantu mempercepatkan keselamatan kewangan mereka untuk persaraan.

"KWSP menyambut baik inisiatif perluasan skop pelepasan cukai tahunan bagi premium insurans nyawa atau caruman takaful hayat untuk meliputi caruman sukarela kepada KWSP sehingga RM3,000.

"Inisiatif ini boleh dinikmati oleh semua pekerja sama ada di sektor formal atau tidak formal yang membuat caruman secara sukarela kepada KWSP.

"Ini bermakna, seseorang ahli yang mencarum secara wajib (pelepasan cukai sehingga RM4,000) dan menambah simpanan dengan caruman sukarela akan dapat menikmati pelepasan cukai sehingga RM7,000," jelas kenyataan itu lagi.

Dalam pembentangan Belanjawan 2023, kerajaan bersetuju untuk menambah caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KSWP) sebanyak RM500 bagi ahli yang berumur antara 40 hingga 54 tahun yang mempunyai simpanan kurang RM10,000 dalam akaun 1.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, program ini akan memberi manfaat kepada hampir dua juta ahli KWSP melibatkan peruntukan hampir RM1 bilion.