Skip to main content

Malaysia

Super El Nino: Johor sedia langkah pastikan bekalan air stabil

[TB]_Onn Hafiz Ghazi Ranhill SAJ_FB Ranhill SAJ
Onn Hafiz (tengah) ketika hadir bagi meninjau paras air di Empangan Machap sebagai persiapan menghadapi fenomena Super El Nino semalam. - Foto Ranhill SAJ
Advertisement

JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor mula mengatur langkah awal bagi memastikan bekalan air terawat tidak terjejas susulan fenomena Super El Nino yang dijangka berlaku dari Oktober hingga Disember depan.

Ranhill SAJ memaklumkan, beberapa pelan mitigasi sedang dan akan dilaksanakan bagi memastikan bekalan air terawat kekal stabil di kawasan yang menerima bekalan daripada Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam.

“Antara langkah yang dirancang termasuk mengaktifkan ponton dari Kolam Yong ke Ulu Sungai Benut yang mampu menyuntik 10 juta liter sehari (JLH) air mentah,” katanya dalam muat naik di laman Facebook rasmi semalam.

Sebelum itu, Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi mengadakan tinjauan paras air di Empangan Machap sebagai persiapan menghadapi fenomena berkenaan.

Turut hadir, Pegawai Daerah Kluang Azurawati Wahid, Pengarah Badan Kawalselia Air Johor (BAKAJ) Azlan Afandi Sauffee Afandi, Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kluang Muhammad Nizam Ibrahim dan Ketua Pegawai Operasi Ranhill SAJ Khairul Affendy Tusam.

Jelas Ranhill SAJ lagi, empangan Machap membekalkan air mentah bagi dirawat di LRA Simpang Renggam yang mempunyai kapasiti 64 JLH.

Katanya, loji berkenaan menjadi nadi bekalan air terawat bagi kawasan Simpang Renggam, Machap, Pontian Utara dan sebahagian selatan Batu Pahat.

 

Ranhill SAJ memberitahu, tiga unit transfer pump dari Empangan Machap ke Ulu Sungai Benut turut akan diaktifkan sebagai langkah tambahan bagi memastikan sumber air mentah mencukupi.

“Langkah-langkah tambahan juga dilakukan, termasuk menaikkan paras pintu muka sauk Simpang Renggam serta mengaktifkan ponton dari Empangan Machap ke Ulu Sungai Benut yang berkapasiti 15 JLH,” katanya.

Selain itu, usaha pembenihan awan turut sedang dirancang kerajaan negeri bagi membantu pertambahan air mentah di kawasan tadahan air.

Sehubungan itu, pengguna dinasihatkan supaya sentiasa menggunakan air secara berhemah bagi membantu memastikan bekalan air mencukupi ketika menghadapi kemungkinan cuaca panas dan kering. - Sinar Harian

 

Must Watch Video

Advertisement