SPACEX dilaporkan sedang menilai kemungkinan memperoleh data operasi dan data pelanggan daripada syarikat yang telah muflis atau ditutup bagi memperkukuh pembangunan model kecerdasan buatan (AI) miliknya, Grok.
Menurut laporan portal teknologi Amanz, perbincangan berhubung perkara itu dikatakan berlangsung secara dalaman, dengan data yang diperoleh berpotensi digunakan sebagai sumber latihan bagi meningkatkan keupayaan model AI berkenaan.
Perkembangan itu hadir ketika persaingan dalam industri AI semakin sengit, sekali gus menyaksikan syarikat teknologi berlumba-lumba mendapatkan akses kepada set data berkualiti dan pelbagai untuk mempertingkat prestasi model masing-masing.
Malah, langkah seumpama itu bukan sesuatu yang asing apabila sebelum ini Google dilaporkan menawarkan sehingga AS$10 juta untuk mendapatkan data daripada sebuah syarikat penerbangan yang telah muflis.
Dalam masa sama, institusi perbankan dan syarikat kewangan juga dilihat semakin berminat menjual aset data milik syarikat muflis sebagai sebahagian usaha mendapatkan semula nilai kewangan bagi menyelesaikan hutang tertunggak.
Pemerhati industri berpendapat data yang diperoleh daripada operasi perniagaan sebenar mampu memberikan kelebihan kepada syarikat AI kerana ia menawarkan maklumat yang lebih pelbagai, realistik dan mencerminkan situasi dunia sebenar.
Bagi SpaceX, data tambahan itu dilihat mampu membantu memperkukuh latihan model Grok, yang kini berusaha menyaingi platform AI utama seperti keluaran OpenAI, Anthropic dan Google.
Sebelum ini, Elon Musk turut dilaporkan menyatakan bahawa Grok akan dilatih menggunakan pelbagai maklumat berkaitan operasi SpaceX.
Pada masa sama, Grok juga sedia memanfaatkan data daripada platform media sosial X, yang sebelum ini dikenali sebagai Twitter, bagi membolehkan model berkenaan mengakses maklumat dan perkembangan masa nyata dalam proses latihan serta penjanaan respons.