MELAKA: Kementerian Pertahanan (Mindef) akan memberi fokus pada penambahan aset baharu termasuk bagi mengawal sempadan negara dan kebajikan anggota serta veteran tentera menerusi peruntukan RM19.7 bilion yang diterima kementerian itu dalam Belanjawan 2024.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata antara aset baharu yang bakal diterima Mindef ialah tiga Littoral Mission Ship (LMS) dengan tumpuan penempatan aset berkenaan termasuk di Markas Wilayah Laut 4 (Mawilla 4) di Bintulu, Sarawak.

Beliau berkata pemindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan yang berhampiran dengan Sabah dan Sarawak juga memerlukan pembangunan sempadan yang ketat dan lebih efektif termasuk penambahan lebih banyak pos kawalan.

"Tahun ini ada empat pos kawalan akan dibangunkan manakala tujuh lagi (pos kawalan) akan dibangunkan di Sabah dan Sarawak tahun depan seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Bengkel Pendanaan Politik anjuran Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) dan Transparency-International Malaysia (TI-M).

Mengulas lanjut, Adly berkata langkah berkenaan secara tidak langsung membantu negara memperkukuhkan kawalan sempadan di Sabah dan Sarawak, sekali gus meningkatkan keselamatan di perairan Laut China Selatan yang kaya dengan sumber perikanan bagi nelayan tempatan selain aktiviti cari gali minyak.

Sementara itu, katanya antara aspek kebajikan anggota tentera yang menjadi keutamaan ialah pembinaan lebih banyak Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) selain menambah baik bantuan dan pemberian kepada veteran tentera termasuk tidak berpencen.

"Tahun depan kira-kira RM400 juta akan diperuntukan bagi pembinaan RKMAT berbanding RM200 juta pada tahun ini dan RM100 juta pada tahun lepas," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai penubuhan agensi tunggal sempadan negara atau Single Border Agency (SBA) yang diumumkan Anwar dalam Belanjawan 2024 semalam, Adly berkata Mindef akan mengadakan sesi libat urus bersama Kementerian Dalam Negeri bagi membincangkan inisiatif berkenaan dalam masa terdekat.

Beliau berkata perbincangan berkenaan termasuk penyelarasan pelbagai aspek melibatkan tugas, peranan dan skop kerja bagi agensi penguatkuasa di bawah kedua-dua kementerian itu.

Semalam Anwar yang juga Menteri Kewangan semasa membentangkan Belanjawan 2024 memaklumkan sejumlah RM19.7 bilion diperuntukkan kepada Mindef dalam usaha memperkukuh tahap kesiapsiagaan pertahanan dan keselamatan negara, meningkat berbanding RM2 bilion pada belanjawan lepa.

-- BERNAMA