Ringkasan AI
- Pemain gitar Duran Duran, Andy Taylor, meninggal dunia pada usia 65 tahun akibat kanser prostat di kediamannya bersama keluarga.
- Taylor merupakan penulis bersama lagu-lagu hit Duran Duran dan turut terlibat dalam projek The Power Station serta kolaborasi dengan artis terkenal.
- Beliau meninggalkan seorang balu, empat anak dan seorang cucu, serta sempat menyumbang kepada album Danse Macabre pada 2023.
LONDON: Pemain gitar kumpulan pop legenda Britain 'Duran Duran', Andy Taylor, meninggal dunia pada usia 65 tahun selepas bertarung dengan kanser prostat, lapor BBC.
Menerusi kenyataan di laman web rasmi kumpulan itu, keluarga dan anggota Duran Duran memaklumkan mendiang menghembuskan nafas terakhir di kediamannya bersama keluarga pada Isnin lalu.
Isterinya, Tracey Taylor, berkata pemergian suaminya itu merupakan kehilangan besar buat keluarga.
"Di mata dunia, Andy ialah seorang pemain gitar yang hebat, namun bagi kami beliau ialah suami yang paling budiman, bapa yang penyayang serta datuk yang amat berbangga dengan cucunya.
"Walau sejauh mana muzik membawanya pergi, hatinya sentiasa berada di rumah," katanya dalam kenyataan itu.
Dilahirkan di Tynemouth, England, Taylor merupakan antara penulis bersama beberapa lagu hit terkenal Duran Duran termasuk "Save A Prayer", "Rio", "Girls On Film" dan "Hungry Like The Wolf".
Selain Duran Duran, beliau turut mencipta nama menerusi projek sampingan The Power Station serta bekerjasama dengan artis terkenal seperti Robert Palmer, Rod Stewart dan Belinda Carlisle.
Bakat muzik Taylor mula terserlah apabila mempelajari gitar, bass dan dram secara sendiri sebelum bermain muzik secara profesional seawal usia 13 tahun.
Kerjayanya bersama Duran Duran bermula pada April 1980 selepas menjawab iklan uji bakat di Birmingham, sekali gus membantu membawa kumpulan itu ke puncak kemasyhuran dunia menerusi gelombang muzik New Romantic.
Vokalis utama kumpulan itu, Simon Le Bon, turut menzahirkan kesedihan atas pemergian rakan seperjuangannya.
"Andy tidak pernah memilih jalan mudah dalam berkarya. Bunyi gitar berteraskan kesan overdrive beliau membantu membentuk identiti Duran Duran sebagai kumpulan yang menggabungkan elemen funk, rock dan punk dalam gerakan New Romantic dengan lagu-lagu yang kekal malar segar sehingga hari ini," katanya.
Taylor meninggalkan Duran Duran pada 1985 sebelum kembali menyertai kumpulan itu buat sementara waktu pada era 2000-an.
Pada November 2022, beliau mendedahkan menghidap kanser prostat tahap empat selepas terpaksa menarik diri daripada majlis pengiktirafan Duran Duran ke dalam Rock and Roll Hall of Fame.
Bagaimanapun, beliau masih sempat menyumbangkan sentuhan terakhirnya menerusi album Danse Macabre yang diterbitkan pada 2023.
Mendiang meninggalkan seorang balu, Tracey yang dikahwininya pada 1982, empat anak iaitu Georgina, Isabella, Bethany dan Andrew, serta seorang cucu, Albie.