KUALA LUMPUR: Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam sebanyak RM2,000 diberikan kepada semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak.

Selain itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, RM1,000 diberikan kepada semua Jawatan Utama Sektor Awam melibatkan semua termasuk polis, bomba, tentera, angkatan bersenjata serta seluruh anggota beruniform.

"Bayaran Insentif RM1,000 turut dipanjangkan kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen serta veteran tidak berpencen.

"Bayaran ini akan dibuat secara, sekali gus pada akhir Februari 2024 bagi meringankan beban persediaan persekolahan anak-anak serta persiapan menjelang bulan Ramadan dan Syawal," kata kata Perdana Menteri ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2024) di Dewan Rakyat hari ini.

Belanjawan 2024 merupakan Belanjawan MADANI Kedua sebagai kesinambungan dasar yang menelusuri Kerangka Ekonomi MADANI melibatkan  tiga tumpuan utama iaitu; Tatakelola Terbaik Demi Ketangkasan Perkhidmatan; Penstrukturan Semula Ekonomi Bagi Melonjak Pertumbuhan; Peningkatan Darjat Hidup Rakyat.

Jelas beliau, kerajaan ketika ini sedang menyemak semula skim gaji dan elaun tetap penjawat awam yang kali terakhir dilaksanakan pada 2012.

Tambah Anwar, kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) akan meneliti keperluan semua skim perkhidmatan dan dijangka akan dimuktamadkan pada penghujung tahun hadapan. 

"Kerajaan menyarankan majikan swasta turut sama mengkaji kesesuaian saraan serta ganjaran kepada pekerja mengambil kira cabaran kos sara hidup semasa. Tahun hadapan, Kerajaan akan mula mempergiat sesi libat urus.

"Saya menyeru untuk pihak swasta untuk memberi ganjaran terutamanya syarikat yang mempunyai keuntungan yang munasabah," katanya.

Dalam masa yang sama, bagi memastikan nasib penjawat awam terbela, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan bersetuju supaya liputan Skim Ex-Gratia Bencana Kerja ditambah baik dan had siling gaji ditingkatkan daripada RM4,000 kepada RM6,000 selaras dengan pindaan Skim PERKESO bagi sektor swasta.

"Kenaikan had siling gaji ini membolehkan kadar bayaran faedah di bawah Skim Ex-Gratia Bencana Kerja meningkat sehingga 50 peratus atau sekitar RM1.6 juta.

"Dengan kata lain, penjawat awam atau waris akan menikmati tuntutan pampasan yang lebih tinggi sekiranya berlaku kemalangan semasa bertugas," katanya.

Selain itu, sebagai langkah menggalakkan penghasilan batik Malaysia yang berkualiti tinggi, Kerajaan bersetuju memperluas Kemudahan Bantuan Bayaran Pakaian Menghadiri Upacara Rasmi untuk meliputi pakaian batik Malaysia untuk semua penjawat awam yang layak.