KUALA LUMPUR: Sebanyak RM150 juta diperuntukkan bagi menyelenggara dan membaiki tandas awam di seluruh negara pada tahun hadapan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia melibatkan baik pulih tandas awam di 150 kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Dalam masa sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata projek pembaikan tandas di 8,354 sekolah hampir siap sepenuhnya pada tahun ini.

"Kerajaan akan terus membela nasib rakyat dan menumpukan keutamaan terhadap perkhidmatan dan projek-projek yang memberi kesejahteraan kepada rakyat. Antaranya termasuklah menangani masalah asas rakyat yang masih berlarutan," kata Perdana Menteri ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2024) di Dewan Rakyat hari ini.

Belanjawan 2024 merupakan Belanjawan MADANI Kedua sebagai kesinambungan dasar yang menelusuri Kerangka Ekonomi MADANI melibatkan  tiga tumpuan utama iaitu; Tatakelola Terbaik Demi Ketangkasan Perkhidmatan; Penstrukturan Semula Ekonomi Bagi Melonjak Pertumbuhan; Peningkatan Darjat Hidup Rakyat.

Dalam masa yang sama, Anwar berkata RM2.8 bilion disediakan untuk menyelenggara jalan dan jambatan persekutuan dengan RM300 juta dikhususkan kepada kontraktor G1 hingga G4.

"Khidmat Jurutera Daerah akan terus diperkasa bagi segera menangani aduan kecil dan luar jangka melibatkan Jalan Persekutuan. Kerajaan akan meningkatkan peruntukan kepada RM200,000 ketimbang RM100,000 kepada 115 jurutera daerah dengan peruntukan keseluruhan RM30 juta.

"RM100 juta disediakan bagi menyelenggara lampu jalan termasuk menggantikan kepada jenis LED yang dapat menjimatkan elektrik sehingga 60 peratus. RM50 juta turut disediakan untuk tujuan sama di kawasan PBT seluruh negara.

"Manakala, RM50 juta disediakan untuk merawat kawasan berkemalangan tinggi antaranya menaik taraf lampu isyarat sedia ada kepada lampu isyarat pintar di Jalan Persekutuan bagi membantu mengurai kesesakan laluan trafik," kata Perdana Menteri.