Belanjawan 2026: Bukti komitmen Kerajaan Persekutuan selesaikan masalah elektrik di Sabah

Armizan hadir pada majlis menandatangani MoU bagi pembangunan pawagam komuniti 10 Star Cinemas bersama WSG Properties dan WK Konsortium. - Foto Astro AWANI
KOTA KINABALU: Peruntukan subsidi berjumlah RM1.2 bilion dan RM765 juta bagi Projek Southern Link dalam Belanjawan 2026 disifatkan sebagai bukti komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan dalam membantu menyelesaikan isu bekalan elektrik di negeri itu.
Ringkasan AI
- Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM1.2 bilion dan RM765 juta dalam Belanjawan 2026 bagi menyelesaikan isu bekalan elektrik di Sabah melalui Projek Southern Link dan subsidi sokongan tarif serta bahan api.
- Projek Southern Link sepanjang 330km dengan kapasiti 775kV akan melengkapkan sistem grid elektrik Sabah, khususnya ke Pantai Timur, bagi mengelakkan gangguan bekalan seperti insiden tanah runtuh baru-baru ini.
- Subsidi turut merangkumi projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) dan sambungan bekalan elektrik oleh PPKBES, sebagai usaha menyeluruh memastikan kesejahteraan rakyat dan pembangunan negeri Sabah.
“Dengan adanya sambungan rangkaian grid ini, isu seperti yang berlaku baru-baru ini, apabila kawasan Pantai Timur mengalami gangguan bekalan elektrik susulan pencawang utama terkesan akibat tanah runtuh, dapat dielakkan.
“Ketika itu, tiada laluan alternatif bekalan tenaga ke kawasan terjejas, sekali gus menyebabkan seluruh Pantai Timur bergelap,” katanya dalam sidang media di sini pada Sabtu.
Beliau ditemui selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi pembangunan pawagam komuniti 10 Star Cinemas bersama WSG Properties dan WK Konsortium.
Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar menambah, keperluan untuk melengkapkan grid elektrik di negeri itu telah dikenal pasti sejak 1980-an, namun hanya kini Kerajaan Persekutuan memberikan komitmen sebenar terhadap pelaksanaannya.
Menurut beliau, fasa pertama sepanjang 60 kilometer (km) telah pun dimulakan menggunakan dana Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), dengan jarak keseluruhan projek tersebut adalah 330km dan berkapasiti 775 kilovolt (kV).
“Jadi Alhamdulillah untuk fasa kedua, Kerajaan Persekutuan telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM755 juta untuk tahun depan yang membolehkan keseluruhan 330km dapat dilaksanakan, yang melibatkan 775kV,” tambah beliau.
Bagi subsidi RM1.2 bilion, ia antaranya meliputi RM880 juta subsidi sokongan tarif, bahan api dan solar berskala besar.
Selain itu, RM189.8 juta diperuntukan di bawah projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah; dan RM128 juta bagi melaksanakan projek-projek sambungan bekalan elektrik yang dilaksanakan oleh Pasukan Projek Khas Bekalan Elektrik Sabah (PPKBES) di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami