Belanjawan 2026: Kerajaan peruntuk RM470 bilion, sasar penurunan defisit fiskal kepada 3.5 peratus

Kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM470 bilion untuk Belanjawan 2026, dengan peruntukan RM338.2 bilion untuk perbelanjaan mengurus, dan RM81 bilion untuk perbelanjaan pembangunan. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM470 bilion untuk Belanjawan 2026, dengan peruntukan RM338.2 bilion untuk perbelanjaan mengurus, dan RM81 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Parlimen pada Jumaat berkata, kerajaan akan mengoptimum sumber negara termasuk dana GLIC sebanyak RM30 bilion, pelaburan awam-swasta (RM10 bilion) dan pelaburan badan kanun persekutuan serta syarikat MKD (RM10.8 bilion).
Dengan sembilan Tekad Utama dan berpaksikan tiga tonggak Ekonomi MADANI, Anwar berkata, dokumen yang bertemakan Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat itu, adalah bukti Kerajaan memilih jalan kebangkitan dan pembaharuan nasional (national rejuvenation) yang menyeluruh.
“Di bawah MADANI, kita tekal menurunkan defisit fiskal: daripada 5.5 peratus (2022); 5 peratus (2023); 4.1 peratus (2024); dan bertekad mencapai 3.8 peratus (2025). Insya-Allah, tahun 2026 akan menurun lagi kepada 3.5 peratus.“Penurunan defisit bermakna jumlah hutang baharu turun dan terkawal: daripada RM100 bilion (2022); RM92 bilion (2023); RM77 bilion (2024), sekitar RM77 bilion (2025), dan diusahakan untuk turun lagi tahun ini. Dengan disiplin berterusan, defisit fiskal tiga peratus mampu dicapai dalam jangka sederhana,” katanya lagi.

Katanya lagi, apabila diperlukan perbelanjaan tambahan untuk prasarana dan bantuan rakyat, akan dikenakan cukai tambahan.
Namun Anwar menegaskan, kerajaan memilih untuk membaiki tatakelola, termasuk penyasaran subsidi tanpa menambah beban rakyat.
“Dengan menggunakan kaedah sedemikian, kita berjaya melaksana langkah pembanterasan rasuah, mengekang penyeludupan serta memecah tembok dan melumpuhkan kartel,” katanya lagi.
Dalam pada itu Perdana Menteri berkata, Kadar Dalam Negara Kasar (KDNK) separuh pertama tahun 2025 mencatat pertumbuhan memberangsangkan iaitu pada 4.4 peratus.
Biarpun terhimpit dengan asak perang tarif Amerika Syarikat, Anwar berkata, unjuran semula KDNK 2025 antara 4.0 hingga 4.8 peratus.
“Ini membuktikan ekonomi kita kekal berdaya tahan. Bagi tahun 2026, ekonomi kita diunjur berkembang lebih rendah antara 4.0 hingga 4.5 peratus. Ini susulan ketidaktentuan ekonomi dunia dan sengketa geopolitik, geoekonomi yang berterusan,” katanya lagi.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami