BUENOS AIRES: Kapten Argentina, Lionel Messi dilaporkan semakin pulih daripada kecederaan otot dan berpotensi diturunkan dalam aksi pemanas badan terakhir menjelang Piala Dunia, menurut ketua jurulatih Lionel Scaloni.
Messi, 38, sebelum ini mengalami kecederaan ketika beraksi bersama Inter Miami, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai tahap kecergasannya menjelang kejohanan tersebut.
Juara bertahan dunia itu dijadual menentang Honduras di Texas sebelum berdepan Iceland di Alabama dalam dua perlawanan persahabatan terakhir mereka sebagai persiapan menghadapi Piala Dunia.
Menurut Scaloni, Messi kini menunjukkan perkembangan positif apabila sudah kembali menjalani latihan bersama rakan sepasukan, selepas sebelum ini berlatih secara berasingan.
Beliau berkata, bintang tersebut berkemungkinan diberi peluang beraksi untuk tempoh singkat dalam salah satu daripada dua perlawanan pemanas badan itu, bergantung kepada tahap kecergasan semasa.
Scaloni turut menyifatkan perkembangan terkini itu sebagai satu kelegaan buat pasukan, khususnya dalam misi mempertahankan kejuaraan.
Dalam masa sama, beliau berkongsi detik ketika memaklumkan kepada Messi mengenai pemilihannya dalam skuad kebangsaan, sambil menyifatkan komunikasi tersebut berlaku secara santai.
Messi, yang dianggap antara pemain terhebat sepanjang zaman, sebelum ini mengetuai Argentina menjulang trofi Piala Dunia 2022 di Qatar.
Piala Dunia edisi kali ini yang dianjurkan bersama Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada akan berlangsung dari 11 Jun hingga 19 Julai.
Argentina dijadual membuka kempen mempertahankan kejuaraan menentang Algeria pada 16 Jun sebelum bertemu Austria dan Jordan dalam Kumpulan J. - Agensi