WASHINGTON: Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA) mengesahkan kes kedua jangkitan parasit lalat cacing skru pemakan daging di Texas pada Jumaat, hanya beberapa kilometer dari lokasi kes pertama yang dilaporkan minggu ini.
Kes terbaharu itu dikesan di Zavala County, kira-kira 9 kilometer dari kes pertama yang disahkan di negeri berkenaan pada Rabu lalu.
USDA memaklumkan jangkitan tersebut ditemui pada seekor anak lembu berusia sebulan.
Sebelum ini, pihak berkuasa hanya melaporkan satu kes jangkitan, namun pengesahan kedua ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penternak lembu di kawasan berkenaan.
Kawasan terjejas terletak berhampiran La Pryor, sekitar 48 kilometer dari sempadan Amerika Syarikat-Mexico, ketika parasit itu dilaporkan merebak ke arah utara dari Mexico sejak setahun lalu.
Lalat cacing skru merupakan serangga parasit yang bertelur pada luka terbuka atau membran mukus haiwan berdarah panas.
Larva yang menetas akan menembusi dan memakan tisu hidup, yang boleh menyebabkan kecederaan serius atau kematian jika tidak dirawat.
Penemuan kes kedua ini dilihat sebagai cabaran baharu kepada industri penternakan di AS yang sebelum ini bersiap sedia menghadapi kemungkinan kemunculan semula parasit berbahaya itu selepas beberapa dekad tidak dikesan.
Pihak berkuasa kini meningkatkan pemantauan dan langkah kawalan bagi mengekang penularan, termasuk menjalankan pemeriksaan di ladang ternakan serta memperkukuh usaha pengesanan awal di kawasan berisiko.